Lepas berbakti untuk TFC, Pahang, Selangor, 'Messi Malaysia' pulang ke gagang


  • Podium
  • Selasa, 28 Dis 2021

JOSEPH (kanan) pernah beraksi bersama Sarawak United sebanyak dua kali. — The Star

BEKAS pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie dijangka membuat penampilan ketiga bersama Sarawak United sepanjang kariernya pada musim depan.

Difahamkan, Sarawak United mahu membawa semula Joseph ke kelab berkenaan bagi menggantikan Taylor Regan sebagai kapten pasukan tersebut.

Joseph yang juga anak jati Sarawak, pernah bermain bersama kelab itu sewaktu awal kariernya pada 2006 sebelum berhijrah ke Terengganu pada 2008.

Tiga musim di Pantai Timur, Joseph kembali ke Bumi Kenyalang pada 2012 hingga 2015.

Selepas itu, pemain berusia 34 tahun tersebut berkelana ke Terengganu, Pahang, Selangor dan kini bermain untuk Kuching City di Liga Perdana.

Joseph merupakan antara watak penting bagi Kuching City yang membawa pasukan itu beraksi dari Liga M3 ke Liga Perdana pada musim pertamanya bersama kelab tersebut.



JOSEPH (kanan) dijangka menggantikan Regan sebagai kapten pasukan Sarawak. — The Star

Pada musim pertamanya, Joseph menyumbat 17 gol dalam 22 penampilan namun gagal mengulangi prestasinya pada musim 2020 dan 2021.

Kehadiran Joseph di Sarawak United bakal mengembalikan keharmonian dalam bilik persalinan pasukan itu selepas Regan bertindak menamatkan kontraknya yang berbaki 12 bulan lebih awal baru-baru ini.

Regan mendakwa kelab itu gagal melunaskan tunggakan gaji selama empat hingga lima bulan kepada para pemain pasukan tersebut serta membawa kes itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Malahan, difahamkan, beberapa pemain seperti Christie Jayaseelan dan S. Chanturu juga bakal mengikuti jejak langkah Regan sekiranya situasi sama terus berlaku dan kehadiran Joseph tentu diharap dapat mengubah perkara berkenaan.

Meskipun Joseph sudah melangkaui zaman kegemilangannya, namun kehadiran beliau dalam skuad kendalian E. Elavarasan itu pasti dinantikan oleh para peminat Bumi Kenyalang musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram