Liridon ke Kedah ibarat 'tiada rotan akar pun berguna'


  • Massa
  • Selasa, 28 Dis 2021

LIRIDON (tengah) pernah menjadi tonggak utama KDA FC. — The Star

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) dilihat semakin melengkapkan urusan perpindahan pemain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Difahamkan, terdapat tiga lagi pemain yang ingin diburu oleh KDA FC bagi memperkuatkan skuad mereka.

Ada juga khabar bekas pemain kelab tersebut, Liridon Krasniqi bakal 'berpatah balik' ke KDA FC bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Baddrol Bakhtiar.

Bagaimanapun menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, pembelian Liridon bukan disifatkan 'bagai sirih pulang ke gagang', sebaliknya ia lebih kepada ibarat 'tiada rotan akar pun berguna'.

Jelas Pekan, kepulangan atau hasrat untuk membeli semula Liridon perlu dinilai kembali mengikut prestasi semasa pemain tersebut.

"Prestasi Liridon yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) tetapi dipinjamkan ke pasukan-pasukan lain dilihat agak meragukan.

"Dia juga gagal menyerlah ketika dipanggil menyertai skuad kebangsaan Malaysia sebagai pemain naturalisasi sehingga tidak disenaraikan pada kempen Piala Suzuki AFF baru-baru ini.

"Usianya juga semakin bertambah dan tahap kecergasan semakin diragui," ujarnya kepada Majoriti.

LIRIDON (tengah) ketika melakukan debut bersama Harimau Malaya pada Mei lalu. — Facebook FAM

Selain itu, Pekan juga meragui sekiranya Liridon merupakan pemain yang betul-betul diperlukan oleh KDA FC bagi mengisi kekosongan Baddrol.

"Secara peribadi, bola sepak hari ini memerlukan para pemain yang pantas atau laju serta bertenaga.

"Sewajarnya KDA FC membuat pelaburan mengambil pemain muda atau import yang lebih bertenaga serta dapat beraksi sepanjang musim dengan konsisten," ujarnya lagi.

Mengikut rekod, pemain berusia 29 tahun itu pernah beraksi bersama KDA FC dari 2015 hingga 2018.

Dalam tempoh berkenaan, Liridon menjaringkan 34 gol dalam 117 penampilan.

Dia kemudiannya berpindah ke Melaka United dan JDT namun gagal mengulangi prestasinya sewaktu di KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Liridon Krasniqi, Pekan Ramli, KDA FC, JDT, Liga M