Kim Swee tunggu tiga tonggak


  • Podium
  • Selasa, 28 Dis 2021

JURULATIH, Kim Swee yakin dengan kehadiran tiga pemain itu nanti akan memperkukuh kekuatan Sabah FC. — Bernama

TIGA pemain kebangsaan yang menganggotai skuad Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) baru-baru ini iaitu Baddrol Bakhtiar, Dominic Tan dan Rizal Ghazali dijadual melapor diri bersama Sabah FC pada 10 Januari, kata Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Tiga pemain itu akan menyertai sesi latihan pemain Sabah FC yang telah memulakan sesi pertama mereka dengan seramai 20 pemain di Padang Sintetik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada Isnin.

"Hari ini merupakan sesi pertama, kita ada tiga fasa untuk bersiap sedia menghadapi latihan pramusim. Apa yang penting kini adalah persiapan rapi untuk kita menghadapi Liga Malaysia musim hadapan.

"Kita yakin dengan kehadiran tiga pemain itu nanti akan memperkukuh kekuatan Sabah FC," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe gagal melangkah ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Malaysia yang melalui tempoh persiapan singkat dan mencabar terutama dari aspek ketersediaan pemain, memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan juara bertahan Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4.

Skuad The Rhinos akan melaksanakan sesi latihan secara berperingkat bagi menyesuaikan peranan serta menyusun semula posisi dan keserasian semua pemain.

"Dalam minggu pertama tidak banyak yang kita akan lakukan kecuali mendapatkan balik rentak agar semua pemain dapat bersama-sama bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang," kata Kim Swee.

Sementara itu, Sabah FC menerusi kenyataan berasingan mengesahkan tonggak pertahanan Park Tae Su dari Korea Selatan akan bersama pasukan itu untuk musim keempat.

"Park Tae Su akan terus bersama Sabah FC untuk musim 2022. Pemain utiliti yang berasal dari Incheon ini telah menandatangani kontrak penyambungan bersama Sabah FC selama setahun,” menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram