Dua kelab bersaing rebut khidmat Regan


  • Podium
  • Selasa, 28 Dis 2021

REGAN (kiri) pernah beraksi bersama skuad Hobin Jang Hobin pada musim 2016. — Facebook

KONTROVERSI membabitkan pemain pertahanan dari Australia, Taylor Regan dan Sarawak United menggemparkan arena bola sepak tempatan.

Susulan Sarawak yang berdepan isu tunggakan gaji, Regan bertindak menamatkan baki kontrak 12 bulan bersama kelab berkenaan.

Regan turut mengheret Sarawak United ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas tidak menerima gaji selama empat sehingga lima bulan.

Malahan, bayaran bonus yang dijanjikan oleh pihak pengurusan Sarawak United turut tidak 'kunjung tiba' sehingga kini.

Difahamkan, Regan masih mahu beraksi di bumi Malaysia dan beberapa kelab sedang berusaha mendapatkan khidmatnya.

Kelab yang dimaksudkan adalah Sabah FC dan Negeri Sembilan FC.

Meskipun Sabah memiliki beberapa pemain pertahanan terkemuka seperti Dominic Tan dan Rawilson Batuil, namun pengurus kelab itu, Datuk Ong Kim Swee dikhabarkan mahu mendapatkan Regan bagi memantapkan lagi benteng pertahanan.

Musim lalu, benteng pertahanan Sabah dilihat tidak cukup ampuh selepas dibolosi 38 kali dalam saingan Liga Super.

Tambahan pula, pemain berusia 33 tahun itu memiliki daya kepimpinan yang tinggi di atas padang dan mempunyai fizikal serta kemahiran bertahan yang baik.

Regan dijangka mengisi kesebelasan utama dan bakal bergandingan antara Batuil atau seorang lagi pemain import dari Korea, Park Tae-su.

Negeri Sembilan juga antara yang berminat mendapatkan khidmat Regan. Pemain itu sebelum ini pernah beraksi bersama Negeri Sembilan pada 2016.

Dia menikmati musim yang cemerlang bersama Negeri Sembilan dan turut diberikan lilitan kapten sebelum berhijrah ke Australia semula.

Walaupun Negeri Sembilan difahamkan semakin hampir mendapatkan khidmat bekas bek tengah Sri Pahang, Herald Goulon, namun kehadiran Regan dalam skuad Hobin Jang Hobin pasti digeruni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram