NAIB juara Liga Super musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC hampir melengkapkan barisan pemain yang bakal membawa cabaran pasukan bagi saingan 2022.
Selepas menyambar Dechi Marcel dari Terengganu FC (TFC) dan bekas pemain Melaka United, Jang Suk Won, tiga lagi nama dilaporkan bakal menyertai pasukan itu, sekaligus melengkapkan kuota import yang dibenarkan.
Salah seorang daripada tiga pemain itu merupakan nama yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat tempatan iaitu pemain berdarah kacukan Thailand-Jerman, Dennis Buschening.
Buschening bermain untuk Sabah FC pada tahun lalu sebelum ditamatkan kontrak tahun ini. Di Sabah, dia hanya bermain tujuh perlawanan dan gagal memberikan aksi terbaik dan tidak menjadi pilihan kesebelasan utama.
Pemain berdarah kacukan Thailand-Jerman itu kemudiannya bermain untuk UiTM FC pada musim ini namun hanya bermain lima perlawanan Liga Super.
Buschening bukan sahaja mampu bermain sebagai penyerang tengah tetapi juga pemain tengah menyerang.
Beliau dikenali dengan hantaran yang baik serta memiliki fizikal yang kuat dan penguasaan bola yang bagus.
Seorang lagi pemain Asia Tenggara yang berasal dari Singapura, Zulfahmi Arifin juga bakal berhijrah ke Stadium Darul Aman pada musim depan.
Pemain tengah itu kini beraksi bersama kelab Liga 2 Thai, Sukhothai FC dan melakukan lapan penampilan pada musim ini.
Selain posisi kegemarannya itu, beliau juga boleh beraksi sebagai pertahanan tengah.
Pengalamannya menjulang trofi Liga Super ketika bersama Lions XI pada 2013 pastinya bakal memberi tonik tambahan kepada KDA FC untuk mencabar kejuaraan liga.
Selain itu, penjaring terbanyak Liga Jordan yang beraksi untuk kelab Al-Salt, Ronald Ngah turut dilaporkan bakal menguatkan skuad Lang Merah.
Selepas kehilangan dua penggempur berbisa, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman kepada TFC, kehadiran penyerang proilifik seperti Ngah pastinya memberi kelegaan kepada para peminat skuad Hijau Kuning.
Penyerang prolifik yang berasal dari Cameroon itu menjaringkan hampir separuh gol Al-Salt dalam kempen liga musim ini apabila merekodkan 15 gol daripada keseluruhan 32 gol kelab untuk membantu kelab itu menamatkan musim di kedudukan ketiga.
Tiket untuk beraksi di pentas Asia dalam kejohanan Piala AFC, yang tidak berjaya diperoleh kelabnya, pasti menarik minat pemain berusia 30 tahun itu ke Stadium Darul Aman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram