Dua kelab elit intai bekas penggempur Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 27 Dis 2021

DA Sylva ketika beraksi bersama Terengganu FC. — GLENN GUAN/The Star

BEKAS penyerang KL City FC, Dominique Da Sylva dikhabarkan bakal kembali ke Liga Super apabila dua kelab dilaporkan berminat untuk menandatanganinya musim depan.

Pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Negeri Sembilan FC dan kelab Borneo, Sabah FC dilaporkan mahu mendapatkan khidmat pemain berusia 32 tahun itu.

KL City FC melepaskan pemain yang berasal dari Mauritania itu pada pertengahan tahun ini selepas beliau mengalami kecedereraan jangka panjang di bahagian ligamen.

Beliau hanya sempat beraksi dalam enam penampilan bersama Juara Piala Malaysia 2021 itu dan menjaringkan tiga gol.

Sebelum menyertai KL City FC, beliau pernah bersama Terengganu FC pada 2020 dan menjaringkan sembilan gol dalam 10 penampilan sebelum liga dihentikan akibat Covid-19.

Sebelum mengalami kecederaan, Da Sylva dikenali sebagai pemain yang mempunyai stamina tinggi dan rajin.

Penyerang berketinggian 1.8 meter itu merupakan seorang pemain versatil yang boleh beraksi sebegai penyerang tengah dan juga sayap kiri.

Selepas dilepaskan KL City FC, beliau menjadi ejen bebas sehingga kini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram