BEKAS pertahanan Kedah dan Perak, Azmeer Yusof kini kembali ke kancah bola sepak tempatan apabila beliau menandatangani kontrak bagi menyertai kelab yang bakal beraksi dalam saingan Liga M3, BRM FC untuk musim 2022.
Perkara itu sekali gus menjadikan beliau keluar daripada dunia persaraan dan menyaksikan pemain berusia 31 tersebut memeterai kontrak selama setahun bersama kelab yang berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak itu.
Menerusi laman Facebook, Azmeer mengumumkan penyertaannya bersama kelab itu selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain BRM FC di Ipoh, Perak pada malam Jumaat.
"Terima kasih kepada CEO @ghafari_nasir & Manager @aliff_azaman kerana offer dan mengambil saya sebagai pemain @official_brmfc," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada individu yang sering memberi semangat kepadanya untuk beraksi semula dalam dunia bola sepak.
"Terima kasih sangat-sangat mendoakan. Kita kayuh sama-sama dari bawah sampai berjaya semula ok.
"Cuti saya sudah habis. Kini tiba masanya untuk saya galas cabaran team untuk bawa @official_brmfc ke peringkat tertinggi," katanya.
Menurut laporan media tempatan, Azmeer memilih untuk bermain dengan BRM FC kerana tertarik dengan visi dan misi kelab itu walaupun telah berbincang dengan beberapa pasukan lain.
Pemain pertahanan itu mengakui, walaupun pernah mengeluarkan kenyataan untuk bermain secara percuma dan bersedia menjadi penaja, pihak pengurusan kelab masih mahu membayar gajinya seperti pemain lain.
Ketua Pegawai Eksekutif BRM FC, Ghafari Nasir dilaporkan berkata, mereka menyasarkan untuk menjuarai Liga M3 2022, sekali gus naik ke saingan Liga Perdana.
Ghafari berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan kehadiran Azmeer serta beberapa bekas pemain Perak yang dilatih bekas jurulatih skuad Piala Presiden Perlis, Manja Man.
Manja pula yakin, berdasarkan komitmen semua pihak, khususnya para pemain, BRM FC mampu pergi lebih jauh.
Pada 27 Disember 2020 ketika menyarung jersi Kedah dalam saingan Liga Super, Azmeer secara tiba-tiba mengumumkan persaraannya dengan alasan mahu memberikan tumpuan penuh terhadap bidang keusahawanan dan kebajikan Islam, yang mana beliau mengilhamkan idea pembinaan Pusat Pengajian Azmeer Yusof di Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram