TFC bakal dapat khidmat bekas pemain KL City FC


  • Podium
  • Jumaat, 24 Dis 2021

LUKE Woodland (kanan) ketika beraksi bersama KL City FC. — Bernama

KELAB Liga Super, Terengganu FC (TFC) semakin hampir melengkapkan kuota import Aseannya apabila dilaporkan bakal membawa masuk pemain tengah Filipina, Luke Woodland.

Pemain yang beraksi di Liga Thai bersama pasukan Ratchaburi Mitr Phol itu sedang di peringkat akhir perbincangan bersama pengurusan TFC.

Selain posisi tengah, pemain yang mempunyai darah kacukan England-Filipina itu juga boleh bermain sebagai pertahanan tengah.

Kelibat Woodland bukanlah asing bagi peminat bola sepak tempatan kerana beliau sebelum ini pernah beraksi untuk Juara Piala Malaysia 2021, KL City FC pada tahun 2019.

Beliau sempat melakukan 16 penampilan bersama KL City FC sebelum berhijrah ke Ratchaburi Mitr Phol.

Pemain berketinggian 1.83 meter itu juga mempunyai 23 kap antarabangsa bersama Filipina namun beliau tidak bersama skuad dalam kejohanan Piala AFF Suzuki kali ini.

Beliau juga pernah mewakili skuad bawah 16, 17 dan 18 tahun England sebelum membuat keputusan untuk mewakili Filipina.

Kehadiran Woodland bakan menguatkan lagi jentera tengah TFC yang sebelum ini kehilangan pemain dari Ivory Coast, Dechi Marcel yang berpindah ke Kedah Darul Aman FC.

TFC sebelum ini mengumumkan kehadiran beberapa pemain import yang bakal menguatkan lagi pasukan itu pada saingan musim 2022 iaitu Kpah Sherman, Tchetche Kipre dan Pape Diakite.

Selain itu, beberapa import lama seperti Jordan Mintah, Argzim Redzovic dan Habib Haroon dikekalkan dalam skuad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram