Selangor senarai pendek pengganti Ifedayo


  • Podium
  • Jumaat, 24 Dis 2021

SANTO pernah bermain untuk JDT pada 2019 hingga 2020. — Facebook

PEMERGIAN penyerang berbisa Nigeria, Ifedayo Olusegun ke Melaka United (MU) meninggalkan kelompongan besar dalam barisan serangan Selangor FC musim depan.

Pemenang Kasut Emas dua musim berturut-turut itu merupakan tonggak penting Selangor untuk merobek gawang pihak lawan selama tiga musim dari 2019 hingga 2021.

Susulan itu, Selangor dikhabarkan mahu mendapatkan khidmat bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Diogo Luis Santo.

Santo ketika ini beraksi bersama BG Pathum United di liga utama Thailand selepas berpindah dari JDT pada 2020.

Pemain berusia 34 tahun itu memiliki sentuhan yang berbisa di depan gol serta memiliki ketenangan dan bijak mencari peluang menjaringkan gol.

Santo mencipta nama di rantau ini ketika beraksi bersama sebuah lagi kelab Thailand, Buriram United. Bersama kelab terbabit, Santo meledak 119 gol dan 33 bantuan hantaran dalam 139 penampilan.

Statistik itu membuatkan JDT sanggup membeli Santo dengan rekod perpindahan terbesar Liga Malaysia (Liga M) bernilai 1.5 juta euro (RM7.1 juta).

Sewaktu bermain bersama skuad Harimau Selatan, Santo menjaringkan 18 gol dan 13 bantuan hantaran dalam 39 penampilan.

Musim ini, Santo meledak 10 gol dalam 20 penampilan bersama BG Pathum. Kemasukan penyerang muda Singapura, Ikhsan Fandi ke kelab tersebut memberi peluang cerah kepada Selangor FC untuk mendapatkan khidmat Santo.

Difahamkan, Selangor sedang mengadakan rundingan untuk mendapatkan penyerang kelahiran Brazil terbabit.

Tambahan pula, Selangor kini hanya memiliki dua penyerang iaitu Muhammad Shahrel Fikri dan Ahmad Danial Ahmad Asri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram