Tiga kelab Liga M buat Cheng Hoe jika jodoh berakhir


  • Podium
  • Rabu, 22 Dis 2021

CHENG Hoe pernah membimbing Kedah FA pada tahun 2014 hingga 2017. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

SKUAD Harimau Malaya gagal meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki selepas tumpas kepada Indonesia 1-4 Ahad lalu.

Anak buah Tan Cheng Hoe hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan B, sekaligus tersingkir awal dan gagal mengulangi pencapaian layak ke perlawanan akhir tiga tahun lalu.

Berikutan itu, Nasib Cheng Hoe kini seperti berada di hujung tanduk selepas gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan oleh pihak pengurusan, iaitu layak ke perlawanan akhir.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan pada Isnin mengarahkan pengurusan pasukan kebangsaan untuk mengemukakan laporan bedah siasat dan analisis lengkap mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, laporan bedah siasat itu akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.

Nasib Cheng Hoe dijangka diumum selepas mesyuarat tersebut berlangsung.

Peminat tempatan juga dilihat sudah hilang sabar susulan beberapa keputusan Cheng Hoe yang dikatakan menjadi penyumbang kepada kegagalan skuad Harimau Malaya di bumi Singapura.

Antaranya adalah keputusan membawa 24 pemain berbanding kuota 30 pemain yang dibenarkan oleh AFF yang akhirnya memakan diri apabila beberapa pemain daripada kem negara disahkan positif Covid-19.

Selain itu, pemilihan sesetengah pemain serta taktikal yang diterapkan juga menjadi persoalan peminat dan ramai yang merasakan bahawa sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri.

Jika Cheng Hoe meletak jawatan atau dipecat daripada skuad kebangsaan, tidak mustahil beliau akan kembali menguruskan kelab tempatan selepas kali terakhir melakukannya bersama Kedah FA pada 2017.

Antara kelab yang mungkin sesuai buat pengurus berusia 53 tahun itu adalah Perak FC dan Sri Pahang.

Perak FC melalui musim yang sukar apabila menamatkan kedudukan Liga Super di tangga kesebelas, sekali gus tersingkir ke Liga Premier pada musim 2022.

The Bos Gaurus juga ketika ini masih lagi dibimbing oleh Shahril Nizam Khalil yang menggalas tugas sebagai ketua jurulatih sementara bagi menggantikan Chong Yee Fatt yang direhatkan ekoran prestasi buruk.

Cheng Hoe merupakan individu yang tepat untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih jika Perak FC mahu kembali ke Liga Super kerana beliau pernah membawa Kedah FA kembali ke Liga Super pada tahun 2016.

Selain itu, sebuah lagi pasukan yang adalah Sri Pahang FC yang ketika ini dibimbing bekas ketua jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh.

Sebilangan peminat tidak berpuas hati terhadap persembahan yang menyaksikan skuad Tok Gajah menamatkan saingan di tangga kesepuluh, hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Ramai yang mahukan pihak pengurusan menyingkirkan Dollah kerana sudah tidak percaya akan kemampuan beliau membimbing pasukan itu.

Cheng Hoe juga dilihat tiada masalah untuk menguruskan kelab kerana ketika membimbing Kedah FA dari 2014 hingga 2107, beliau pernah mencatat beberapa kenangan manis bersama kelab itu apabila memenangi trofi Liga Premier pada 2015, Piala Malaysia (2016) dan Piala Sumbangsih (2017).

Malah tidak mustahil untuk Cheng Hoe kembali bersatu ke Kedah untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad Hijau Kuning di bawah kendaliannya satu ketika dulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram