KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe harus bertanggungjawab dengan berundur daripada posisinya atas persembahan buruk skuad negara di kejohanan Piala AFF Suzuki 2020.
Jurulatih legenda, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, skuad kebangsaan memerlukan nafas baharu dari segi corak permainan atau DNA supaya dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
"Cheng Hoe tahu beliau sudah gagal untuk mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan padanya.
"Jadi apabila anda sudah gagal itu (berundur) sajalah jawapannya," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Skuad Harimau Malaya sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan B selepas tewas 1-4 kepada Indonesia pada Ahad, sekali gus tidak berjaya mengulangi pencapaian layak ke perlawanan akhir tiga tahun lalu.
Bekas jurulatih, Azraai Khor. — The Star
Mengulas lanjut, jurulatih berusia 69 tahun itu mengakui bukan Cheng Hoe sahaja yang harus dipersalahkan atas kegagalan skuad negara melangkah ke peringkat separuh akhir malah pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga harus sama bertanggungjawab.
"Kalau kita lihat, Cheng Hoe sendiri tidak dapat membawa sebahagian pemain yang dikehendakinya ke Singapura.
"Jadi, tidak adil untuk kita meletakkan semua kesalahan di bahu beliau," katanya.
Beliau juga tidak menolak cadangan supaya FAM mengikut jejak Vietnam dan Indonesia dengan mengambil jurulatih dari negara Asia Timur seperti Korea Selatan atau Jepun.
"Jika pasukan lain seperti Vietnam boleh berjaya dengan bimbingan jurulatih dari sana kenapa kita tak boleh ikut?
"Lihat sahaja permain yang ditonjolkan oleh pemain Vietnam selepas Park Hang Seo mengambil alih pasukan, mereka bermain sangat baik dengan hantaran pendek dan rentak yang laju," katanya.
Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah melantik ketua jurulatih daripada negara Asia untuk membimbing pasukan kebangsaan.
Tambah Azraai, jurulatih Asia lebih memahami budaya dan corak permainan yang sesuai dengan pemain Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram