SEMUA pihak di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus bertanggungjawab atas kegagalan skuad Harimau Malaya di pentas Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini.
Bekas jurulatih Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, adalah tidak wajar untuk meletakkan kesalahan di bahu ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe semata-mata kerana terdapat beberapa perkara yang bukan di bawah bidang kuasa beliau.
"Bagi saya, Cheng Hoe harus berundur tetapi seluruh warga FAM juga harus bertanggungjawab atas kegagalan ini daripada presiden, pengurus dan barisan exco yang lain.
"Siapa yang bersetuju untuk bawa 24 pemain sahaja ke Singapura? Siapa yang buat keputusan mengenai program naturalisasi yang jelas gagal. Itu persoalan yang mereka (FAM) harus jawab," katanya kepada Majoriti.
Perjalanan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala Suzuki AFF 2020 terhenti pada Ahad selepas hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan B, sekali gus tidak layak mara ke peringkat separuh akhir.
Bekas jurulatih Harimau Muda A, Azraai Khor.
Menurut Azraai, FAM harus segera melakukan 'post morterm' mengenai prestasi skuad kebangsaan pada kejohanan Piala AFF Suzuki, termasuk kegagalan program naturalisasi.
Jelasnya, program naturalisasi yang diperkenalkan FAM langsung tidak membuahkan hasil setakat ini.
Tambah beliau, FAM seharusnya lebih bijak dan tegas dalam memilih pemain yang layak untuk dinaturalisasikan.
"Bukan tak boleh nak ambil pemain naturalisasi tetapi kalau kita tengok setakat ini, tiada satu pun pemain yang boleh dibanggakan melalui program ini.
"(Guilherme) De Paula, (Mohamadou) Sumareh dan Liridon (Krasniqi) semuanya tidak menyerlah," katanya.
Azraai berkata, FAM harus mengambil mereka yang masih muda dan mempunyai jiwa untuk bermain dengan pasukan kebangsaan.
Beliau memberi contoh pemain KL City FC yang berasal dari Colombia, Romel Morales yang dikatakan berada dalam radar FAM untuk dijadikan pemain naturalisasi baharu.
"Kalau Morales saya setuju. Kita tengok dia bermain pun penuh semangat berbanding pemain naturalisasi sedia ada," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, juara Piala Malaysia 2021, KL City FC berhasrat untuk menaturalisasikan Morales apabila genap beraksi lima tahun di Liga M pada 2022.
Selain Azraai, dua pemain legenda Malaysia, Safee Sali dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut menyifatkan program naturalisasi FAM sebagai gagal untuk membawa bola sepak negara ke peringkat yang lebih tinggi.
"Program naturalisasi gagal. Sebelum Guilherme De Paula dan Liridon (Krasniqi), kita ada Mohamadou Sumareh yang pernah melakukan sesuatu. Kalau program naturalisasi diteruskan ia perlu dikaji sedalam yang mungkin selain faktor umur pemain," kata Akmal kepada media tempatan baru-baru ini
Manakala Safee dalam satu hantaran di media sosial berkata ,"Bagi saya, sejak projek pemain naturalisasi diperkenalkan, ini menjadi punca terbesar pasukan negara," katanya yang pernah membantu skuad negara menjulang Piala AFF pada 2010 lalu." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram