Jurulatih Korea, Jepun antara pilihan ganti Cheng Hoe


  • Podium
  • Rabu, 22 Dis 2021

CHENG Hoe (kiri) gagal membawa Malaysia ke pentas final Piala AFF baru-baru ini. — Facebook FAM

KEGAGALAN skuad bola sepak kebangsaan di pentas Piala Suzuki AFF baru-baru ini apabila ditunjukkan jalan keluar oleh musuh tradisi, Indonesia dengan kekalahan 1-4, jelas membuktikan kepincangan Harimau Malaya.

Pada awalnya, masalah kecederaan dan para pemain disahkan positif Covid-19 menghantui kem Harimau Malaya.

Tambah parah apabila ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe hanya membawa 24 pemain berbanding kuota 30 pemain yang dibenarkan oleh AFF.

Keputusan beliau itu mengundang reaksi pelbagai pihak yang mendakwa seolah-olah Cheng Hoe hanya 'mencari nahas' dengan berbuat demikian.

Selain itu, keputusannya membawa pemain naturalisasi seperti Guilherme De Paula turut dipersoalkan oleh para peminat bola sepak tempatan.

Kesabaran peminat dan pemerhati bola sepak tempatan semakin kemuncak selepas Harimau Malaya gagal melepasi sasaran ke peringkat final kejohanan itu.

Berikutan itu, Cheng Hoe dikhabarkan bakal dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan beberapa nama dikatakan menjadi calon utama untuk menggantikannya.

Antara nama yang disebut-sebut adalah jurulatih dari Korea, Kim Eun-jung dan jurulatih kelahiran Jepun, Akira Nishino.

Rekod Eun-jung sebagai jurulatih amat mengagumkan. Beliau merupakan sebahagian daripada kem kejurulatihan Korea Selatan bawah 23 tahun (U-23) pada Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia.

Korea Selatan meraih pingat emas dalam kejohanan dan melahirkan bintang seperti Son Heung-min.

Beliau juga membimbing pasukan U-23 memenangi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 23 tahun pada 2019 bersama-sama ketua jurulatih, Kim Hak-bum.

EUN-jung memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan. — Facebook

Tahun ini, Eun-jung juga merupakan sebahagian barisan kejurulatihan Korea Selatan pada Sukan Olimpik Tokyo dan berjaya membawa pasukan itu ke peringkat suku akhir.

Eun-jung baru-baru ini dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan U-20 Korea Selatan bermula Januari 2022 hingga kejohanan Piala Dunia U-20 2023.

Seorang lagi jurulatih yang dikaitkan dengan posisi tersebut adalah Nishino. Nishino tidak asing dalam arena bola sepak Asia Tenggara apabila membimbing Thailand pada 2019 hingga Julai lalu.

Nishino memiliki pengalaman luas melatih skuad kebangsaan Jepun di pentas Piala Dunia 2018. Beliau berjaya membawa Jepun mengalahkan Colombia 2-1 di peringkat kumpulan ketika itu.

NISHINO pernah melatih Jepun pada Piala Dunia 2018. — AFP

Jepun juga hampir mengejutkan Belgium pada peringkat kalah mati apabila mendahului perlawanan 2-0 sebelum tewas 3-2 kepada skuad Die Roten Teufel.

Pada 2019, Nishino bersetuju melatih skuad senior dan U-23 Thailand. Persembahan buruk Thailand pada kelayakan Piala Dunia 2022 menyebabkan Nishino dipecat dan kini melatih kelab Buriram United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram