TMJ nafi pilih Hodak ganti Cheng Hoe


  • Podium
  • Rabu, 22 Dis 2021

HODAK pernah menerajui skuad kebangsaan bawah 19 tahun. — Facebook FAM

PEMILIK Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan bahawa beliau meletakkan pengurus Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak sebagai calon pilihan untuk membimbing skuad bola sepak kebangsaan.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Tunku Ismail menegaskan beliau tidak memberikan pendapat sedemikian dan lebih fokus kepada usaha membantu mangsa banjir.

"Tidak benar! Saya tiada kena mengena dengan pasukan kebangsaan dan saya tiada pendapat. Buat masa ini, tumpuan saya adalah membantu mangsa banjir dan persiapan banjir di Johor," katanya pada Rabu.

WhatsApp Image 2021-12-22 at 5.59.58 PM

STATUS Tunku Ismail di laman Instagram miliknya. — Instagram

Terdahulu, bekas kapten skuad kebangsaan, Hairuddin Omar mendakwa perkara itu pernah dinyatakan sendiri oleh Tunku Ismail kepadanya ketika kedua-dua mereka berjumpa beberapa tahun lalu.

Menurut Hairuddin, pendedahan dibuatnya tidak sama sekali ada kena mengena dengan kedudukan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika ini susulan kegagalan di Piala Suzuki AFF 2020, sebaliknya sekadar berkongsi apa yang diborakkan bersama Tunku Ismail pada waktu itu.

“Suatu waktu dulu, saya pernah borak santai dengan TMJ (Tunku Ismail), saya dah lupa tahun bila. Masa tu saya diberi ruang mengadap TMJ atas urusan PFAM di Johor Bahru. Masa tu beliau baru saja gugurkan Hodak dan Nenad Bacina daripada pasukan JDT selepas JDT menjuarai Liga Super buat pertama kali.

“Saya tanya siapa yang Tunku akan lantik jika Tunku berpeluang menguruskan pasukan kebangsaan dan beliau menjawab akan memilih Hodak. Saya tanya kenapa Hodak sedangkan Tunku sendiri pun buang dia daripada barisan kejurulatihan JDT," katanya dalam satu laporan media tempatan pada Rabu.

Hodak membimbing KL City melakar sejarah dalam tempoh 32 tahun apabila menjuarai Piala Malaysia pada edisi ke-100 selepas menundukkan JDT 2-0 pada bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram