Kelab elit Liga M cuba pujuk Martial ke pantai Timur


  • Podium
  • Selasa, 21 Dis 2021

MARTIAL (kiri) ketika beraksi bersama FC Sochaux. — Agensi

SETELAH menghadapi musim yang terumbang-ambing dalam saingan Liga Super pada musim ini, Sri Pahang FC dilaporkan bersedia untuk berbelanja besar untuk membawa masuk muka baharu ke dalam skuad Tok Gajah.

Sri Pahang menamatkan saingan liga di tangga ketiga tercorot liga, hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Melepaskan 37 gol dalam 22 perlawanan musim lalu, keempat terburuk dalam liga, Sri Pahang pastinya mahu memperkuat barisan pertahanan bagi menghadapi musim 2022.

Ditambah dengan pemergian kapten yang juga pertahanan utama kelab, Muslim Ahmad, skuad Tok Gajah dilaporkan mahu membawa masuk seorang pertahanan berpengalaman bagi memastikan benteng pasukan tidak mudah bocor.

Antara nama yang dilaporkan berada dalam radar Sri Pahang adalah pertahanan dari Perancis, Johan Martial yang merupakan abang kepada bintang Manchester United, Anthony Martial.

Martial kini merupakan ejen bebas selepas berpisah dengan kelab Ligue 2 Perancis, FC Sochaux pada pertengahan tahun ini.

Pemain berusia 30 tahun itu juga pernah mewakili skuad bawah 19 tahun Perancis dan memenangi kejohanan UEFA bawah 19 tahun pada 2010.

Beliau memulakan karier profesionalnya pada tahun 2009 bersama kelab Perancis, Bastia dan berkelana di kelab-kelab Eropah sehingga yang terakhir bersama FC Sochaux.

Setelah hampir enam bulan dilepaskan kelab itu, Martial masih tidak menarik minat mana-mana kelab Eropah untuk menandatanganinya.

Selain Sri Pahang, beberapa kelab Asean lain turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan berketinggian 1.84 meter itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram