SEKURANG-KURANGNYA tiga kelab elit Liga Malaysia (Liga-M) dikatakan sanggup berbelanja besar demi memburu khidmat dua tonggak Indonesia, Pratama Arhan Alif Rifai dan Irfan Jaya Samaling Kumi.
Kedua-dua tonggak utama skuad Garuda itu mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang Harimau Malaya dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Nasional Singapura, pada malam Ahad.
Pratama, 19, dan Irfan, 25, dianggap sebagai petualang buat skuad Harimau Malaya apabila mampu mengkucar-kacirkan corak permainan anak buah Tan Cheng Hoe dalam pertemuan itu.
Bermain di posisi bek kiri, Pratama dilihat aktif menyerang hingga kelincahannya di padang dalam perlawanan pada Ahad mendedahkan kelemahan benteng pertahanan skuad negara.
Pemain kelahiran Blora, Jawa Tengah, Indonesia yang bermain dengan kelab P.S.I.S itu turut mencetak dua gol di peringkat antarabangsa dalam 12 penampilan sejak membuat debut pertama dengan skuad bawah 19 tahun Indonesia pada September 2020.
Sementara itu, Irfan yang bermain di posisi penyerang sayap kanan pula dilihat cukup berbisa ketika bergandingan dengan Pratama untuk mencetak gol kemenangan kepada skuad Indonesia malam Ahad.
Untuk rekod, Irfan yang bermain untuk PSS Sleman berjaya mengumpul enam gol menerusi 13 perlawanan termasuk 10 perlawanan Liga 1 2021.
Kecemerlangan kedua-dua pemain itu sudah pasti memikat tiga kelab gergasi negara iaitu Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Johor Darul Takzim (JDT) untuk melengkapkan barisan pemainnya bagi menghadapi saingan Liga M dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
Begitupun, majikan Pratama dan Irfan pastinya tidak melepaskan mereka dengan harga murah terutamanya usia kedua-dua prospek dilihat masih muda.
Jika gagal mendapatkan khidmat Pratama atau Irfan yang dilaporkan bernilai kira-kira RM200,000 itu, difahamkan tonggak Lechia Gdansk, Witan Sulaeman, 20, dari Indonesia juga berada dalam radar kelab-kelab gergasi tempatan itu.
Sentuhan import dari Indonesia bukan sesuatu yang asing buat kelab tempatan khususnya Selangor yang pernah mendapatkan khidmat Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy dari Persija Jakarta pada 2005.
KDA FC pula pastinya memerlukan pemain seperti Irfan dan Pratama bagi menambah sengat pasukan yang kehilangan ramai pemain utama musim ini sementara kekuatan dana yang dimiliki JDT tidak lagi perlu dipertikai dalam usaha memburu tonggak import berkualiti musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram