BINTANG Manchester United Paul Pogba disifatkan pemain yang menjadi contoh buruk sejak sekian lama di kelab itu.
Pogba menjadi perhatian sejak dia menyertai semula United dengan rekod perpindahan tertinggi kelab tetapi gagal mempamerkan aksi konsisten.
Malah minggu lalu, Pogba diberitahu agar tidak perlu bermain dengan Red Devils jika dia enggan menyambung kontraknya yang bakal tamat musim depan.
Dia kini menjalani proses pemulihan akibat kecederaan pangkal paha ketika beraksi bersama Perancis dan kali terakhir bermain untuk United apabila tewas teruk dengan Liverpool yang menyaksikannya dibuang padang selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
"Pogba meletakkan dirinya sendiri dalam keadaan ini dengan prestasinya bersama United. Dia menjadi amat teruk untuk sekian lama," kata bekas penyerang Leeds United, Noel Whelan.
"Ada ketika dia kelihatan seperti pemain berkualiti dengan wang yang dibelanjakan ke atasnya. Tetapi sebenarnya dia kelihatan pemain berkualiti sederhana.
"Dia tidak cukup bagus untuk kekal bersama United. Jika kelab itu mampu menjualnya, itu lebih bagus.
"Suasana dalam bilik persalinan akan lebih baik tanpanya. United perlukan karakter yang berbeza kerana kini berada di posisi untuk melangkah maju dan mencapai kejayaan.
"Pengurus baharu Ralf Rangnick perlu berani untuk membuang pemain mahal yang tidak menyerlah," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram