MASA depan Mohamed Salah bersama Liverpool masih lagi samar apabila pemain kelahiran Mesir itu belum menandatangani kontrak baharu.
Terbaru, Pemain berusia 29 tahun itu dilapor bersedia untuk menyambung kontrak untuk kekal di Anfield tetapi meletakkan tiga syarat.
Pemain penyerang itu tampil cemerlang pada musim ini dengan menjaringkan 22 gol dalam 24 perlawanan termasuk hatrik ketika menentang Manchester United.
Walaupun dia sedang menikmati musim terbaiknya bersama Liverpool tetapi masa depannya masih tergantung kerana belum memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada Jun 2023.
Perbincangan sudah dimulakan sejak awal lagi tetapi masih belum mencapai keputusan.
Salah mahu gajinya dinaikkan, setimpal dengan prestasinya membantu Liverpool sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk menamatkan kemarau juara Liga dan memenangi Liga Juara-Juara buat keenam.
Memetik laporan 90Min, satu daripada tiga tuntutan Salah ditujukan kepada lembaga pengarah Liverpool.
Salah mahu dia menjadi antara pemain bergaji mahal di Liga Perdana Inggeris dengan anggara 400,000 pound seminggu, menyamai gaji yang diterima Cristiano Ronaldo dan Kevin de Bruyne.
Selain itu, salah juga mahu lebih banyak pengiktirafan daripada Reds tetapi perincian tentang tuntutan kedua ini tidak dapat dipastikan dengan jelas.
Tuntutan terakhir adalah paling penting buat Liverpool.
Salah mahu Jurgen Klopp mendapatkan penyerang baharu pada 2022, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepadanya untuk menjaringkan gol.
Liverpool kini dalam pemburuan dua penyerang baharu iaitu Erling Haaland dari Dortmund dan Dusan Vlahovic dari Fiorentina. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram