PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp teruja diundi menetang Inter Milan dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan tidak sabar untuk menggegarkan Stadium San Siro sekali lagi.
Menurutnya, beliau sudah menunggu selama 54 tahun untuk beraksi di stadium ikonik tersebut dan pada musim ini, peluang itu nampaknya tiba dua kali dalam tempoh tiga bulan.
“Sudah tentu, ia adalah undian yang sukar. Mereka merupakan pendahulu liga di Itali, pasukan yang baik pada masa kini.
"Tetapi ia adalah perlawanan Liga Juara-Juara yang baik, dan saya benar-benar menantikannya," katanya.
Klopp mencatatkan kemenangan 1-2 ke atas AC Milan di stadium tersebut pada aksi terakhir Liga Juara-Juara kumpulan B minggu lalu dengan gol daripada Mohamad Salah dan Divock Origi.
Kelab Merseyside itu pada asalnya diundi menentang RB Salzburg, tetapi UEFA melakukan undian semula selepas mendakwa mereka mengalami masalah teknikal pada undian sebelum itu.
Klopp berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan keputusan itu dan bersetuju bahawa undian semula harus dilakukan.
"Saya melihatnya secara langsung dan saya berfikir bahawa mereka tidak boleh membiarkannya seperti itu. Sudah pasti, mereka terpaksa melakukannya sekali lagi," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram