SELEPAS Liverpool menyingkirkan AC Milan daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL), salah seorang legenda kelab gergasi Itali itu, Paolo Maldini membuat pengakuan secara terbuka.
Maldini berkata, perjalanan AC Milan masih sangat jauh untuk bersaing dengan The Reds yang kini berada pada kelas tersendiri.
Katanya, Liverpool bukan sahaja berkualiti, malah kelab itu juga mempunyai mentaliti, yang mampu mengendalikan tiga perlawanan setiap minggu serta menangani tekanan ketika stadium sesak dipenuhi penonton.
"Anda perlu memperolehnya melalui pengalaman dan membiasakan diri dengan keadaan itu.
"Ada yang cepat menyesuaikan diri, yang lain kurang begitu dan ada yang tidak akan sampai ke tahap itu dan itulah cara anda menilai kualiti pemain.
“Kami tahu kami belum berada di sana, tetapi kami berada di landasan yang betul, dan ia adalah kumpulan yang sangat sukar," katanya.
Dalam perkembangan lain, apabila Liverpool diundi ke dalam UCL, mereka digelar sebagai kumpulan maut iaitu bersama AC Milan, Atletico Madrid dan Porto.
Namun, Jurgen Klopp dan pasukannya tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kalah mati apabila menang semua perlawanan peringkat kumpulan dengan mengumpul mata maksimum 18 mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram