PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengecam tindakan Manchester United dan Tottenham Hotspur kerana merahsiakan kes positif Covid-19 susulan peningkatan wabak tersebut sehingga menyebabkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) melibatkan kedua-dua pasukan ditangguhkan.
Klopp juga menggesa para peminat mempercayai kata-kata pakar berhubung vaksin Covid-19 dan menggesa agar berlaku ketelusan dalam dunia bola sepak.
Tambah pengurus dari Jerman itu, Liverpool tidak menyembunyikan sebarang maklumat sekiranya berlaku kes positif Covid-19 di kelab terbabit.
"Di Man United, saya diberitahu terdapat beberapa pemain positif Covid-19 tetapi saya tidak tahu siapakah mereka. Saya juga tidak mempunyai idea siapa yang positif Covid-19 di Spurs.
"Jika wajar untuk mengetahui siapa mereka, adakah perlu untuk tahu berapa ramai terbabit? Tetapi tidak mengetahui apa-apa dalam dunia serba terbuka ini adalah agak pelik," kata Klopp.
Kedua-dua perlawanan EPL melibatkan Man United minggu ini ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19 melibatkan sejumlah individu dalam kelab terbabit.
Spurs juga tidak beraksi dalam saingan EPL selama dua minggu susulan penularan wabak Covid-19 dalam kem pasukan tersebut.
Tambah Klopp, pihaknya masih menunggu sama ada khidmat tonggak kelab itu, Virgil Van Dijk, Fabinho dan Curtis Jones akan terus diketepikan selepas ketiga-tiga mereka disyaki positif Covid-19.
Ketiga-tiga pemain itu terpaksa diketepikan sewaktu perlawanan menentang Newcastle United pada Khamis lalu yang berakhir memihak kepada The Reds dengan kemenangan 3-1. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram