PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas tindakan pengguna Twitter @harimauselatanx yang dilihat seakan-akan tidak bersimpati dengan nasib melanda penduduk di Selangor menerusi ciapannya pada Sabtu.
Tunku Ismail memberi respons terhadap tindakan pengguna terbabit selepas menerima maklum balas daripada pengguna Twitter lain.
"Salam. Pertama, yang awak semua melayan page gila kenapa? Kedua, page 'Official JDT' keluarkan kenyataan semalam (Sabtu) tak ada pula orang 'tag' saya.
"Ketiga, perangai orang Johor lebih kurang macam saya, sentiasa beri bantuan.
"Saya dan keluarga setiap hari beri bantuan, tak ada pula orang perasan ya? Hebat," menurut Tunku Ismail menerusi ciapannya pada Ahad.
Pengguna Twitter terbabit, @harimauselatanx pada Sabtu mendakwa kerajaan Selangor tidak menghulurkan bantuan kepada penduduk di negeri itu yang terlibat dengan musibah banjir dan lebih mementingkan soal bola sepak.
"Bertabahlah orang Selangor, lepas satu masalah, satu masalah lagi yang timbul. Dari duit kerajaan habis dekat bola, lagi baik duit itu membantu rakyat Selangor.
"Takkanlah nama saja gergasi tapi tak reti cari duit sendiri, akhirnya rakyat Selangor juga yang sengsara," ujar pengguna Twitter itu.
CIAPAN pengguna Twitter tersebut yang mengundang kecaman Tunku Ismail dan warganet. — Twitter
Kebanyakan warganet turut mengecam tindakannya yang cuba bermain soal politik ketika rakyat berdepan situasi getir.
Ada juga warganet yang membidas pengguna tersebut dan seolah-seolah mahu memalukan nama rakyat Johor.
Twiter itu bagaimanapun telah dipadam setelah menerima kecaman ramai pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram