BEBERAPA pasukan Liga Malaysia (Liga-M) seperti Negeri Sembilan, Sri Pahang dan Melaka United dikhabarkan memburu pemain sayap kiri Algeria, Mohamed Youcef Belaili bagi mengisi kuota import skuad masing-masing.
Mohamed Youcef baru-baru ini ditamatkan kontrak oleh kelabnya iaitu Qatar SC selepas jaringan golnya menyebabkan Qatar tersingkir daripada Piala Arab.
Pemain itu menyempurnakan penalti pada minit ke-104 masa kecederaan, sekali gus Algeria mara ke peringkat akhir Piala Arab dengan kemenangan 2-1.
Situasi tersebut menyebabkan beberapa pasukan Liga-M memantau perkembangannya bagi memantapkan skuad mereka musim depan.
Pemain berusia 29 tahun itu memiliki rekod cemerlang bersama Qatar SC apabila meledak 15 gol dalam 22 penampilan.
Dia juga memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila mewakili Algeria sebanyak 30 penampilan dan menjaringkan lapan gol.
Melaka United dikhabarkan memburu Mohamed Youcef bagi mengisi kuota import ditinggalkan oleh Manuel Ott yang berhijrah ke Terengganu FC (TFC) musim depan.
Mohamed Youcef juga mampu bermain sebagai perancang tengah dan kehadirannya bersama rekod yang memberangsangkan pasti memberi impak positif kepada skuad Sang Kancil kelak.
Bagi Sri Pahang yang hampir tersingkir ke Liga Premier musim depan, tentunya enggan mengulangi prestasi musim lalu dan Mohamed Youcef tentunya akan membentuk gandingan serasi di bahagian sayap bersama seorang lagi pemain Argentina, Manuel Hidalgo.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC ketika ini tidak memiliki pemain sayap kiri sejati dan Mohamed Youcef merupakan calon sesuai mengisi kekosongan berkenaan.
Walaupun pendatang baharu Liga Super itu memiliki dana yang kecil untuk dibelanjakan, namun pembelian Mohamed Youcef adalah satu pelaburan yang berbaloi sekiranya memiliki hasrat kekal di Liga Super untuk tahun mendatang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram