'Harimau Malaya layak dapat kepimpinan lebih baik'


  • Massa
  • Isnin, 20 Dis 2021

STANLEY mendesak FAM bertanggungjawab terhadap penyingkiran skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF 2020. — Gambar kredit Makan Bola

KEKALAHAN Harimau Malaya 1-4 di tangan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura pada Ahad pastinya mengecewakan seluruh penyokong pasukan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City, Stanley Bernard Stephen Samuel juga mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya bertanggung jawab atas kegagalan Harimau Malaya pada kempen kali ini.

stanley

TANGKAP layar ciapan Twitter Stanley Bernard

Menurut Stanley di ciapan laman Twitternya, ekoran kekalahan itu, tindakan yang sewajarnya patut diambil oleh pucuk pimpinan tertinggi iaitu FAM.

"Saya berharap untuk melihat sama ada terdapat akauntabiliti daripada pihak FAM.

"Pasukan bola sepak di negara ini lebih layak untuk mendapat kepimpinan yang lebih baik #AFFSuzukiCup," kata bekas pemain bola sepak Malaysia itu.

Terdahulu, pada 4 Disember, Stanley juga pernah mengkritik beberapa individu yang berada di mana-mana kelab yang memiliki kepentingan diri sendiri.

Tegas Stanley, perkara itu sudah menjadi budaya tidak sihat dalam bola sepak Malaysia.

Majoriti warganet di laman Twitter senada dengan pendapat Stanley itu dan menyarankan supaya beliau menjadi presiden FAM untuk masa depan bola sepak Malaysia.

"Ambil alih FAM tuan. Saya tahu anda boleh melakukannya. Kita perlu pemimpin tahu tentang bola sepak, geng-geng tua dalam FAM ini terlalu banyak makan duit," dakwa pengguna Twitter, keikki24.

"Mereka bukan sedar diri. Kejar nama tapi buat kerja macam gagal. Target final pemilihan dan tactical mengarut, " komen dari pengguna Twitter, Yoe71433180.

"Menjalankan post mortem dan telus dan terbuka kepada orang ramai. Sekurang-kurangnya perkara itu mereka boleh lakukan untuk penyokong," kata pengguna Twitter, daikoyee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram