Kedah pening pilih penyerang import ganti Kpah Sherman


  • Podium
  • Rabu, 15 Dis 2021

MATHEUS Alves (kanan) antara nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke KDA FC. — FAIHAN GHANI/The Star

PASUKAN Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC masih belum melengkapkan kuota pemain import yang bakal membarisi pasukan itu dalam saingan musim hadapan.

Skuad Hijau Kuning pada Ahad mengumumkan pemain import baharu pertama untuk musim 2022, iaitu bekas pertahanan Melaka United yang berasal dari Korea Selatan, Jang Suk-Won.

Selepas melepaskan penjaring terbanyak pasukan, Kpah Sherman kepada pasukan Terengganu FC (TFC), KDA FC kini sedang giat memburu seorang penyerang bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain Liberia itu.

Setakat ini, pengurusan kelab masih lagi dalam perbincangan mengenai siapa yang paling sesuai untuk mengemudi barisan serangan kelab, tetapi beberapa nama dilaporkan sudah berada dalam senarai.

Antara nama yang dikaitkan dengan naib juara Liga Super 2021 itu adalah bekas penyerang Pahang, Matheus Alves yang kini beraksi bersama Chungnam Asan di liga kedua Korea, K League 2.

Ketika dipinjamkan ke Pahang dari Fluminense pada 2017, Alves beraksi cemerlang dengan mencatatkan 18 gol dan 10 bantuan gol dalam 21 perlawanan liga.

Selain itu, penjaring terbanyak Liga Jordan yang beraksi untuk kelab Al-Salt, Ronald Ngah dilaporkan turut berada dalam radar Lang Merah.

Penyerang prolifik yang berasal dari Cameroon itu menjaringkan hampir separuh gol Al-Salt dalam kempen liga musim ini apabila merekodkan 15 gol daripada keseluruhan 32 gol kelab untuk membantu kelab itu menamatkan musim di kedudukan ketiga.

Tiket untuk beraksi di pentas Asia dalam kejohanan Piala AFC, yang tidak berjaya diperoleh kelabnya, pasti menjadi penarik kepada pemain berusia 30 tahun itu.

Khabar angin juga berterbangan yang mengatakan KDA FC juga mungkin berminat untuk mendapatkan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang baru dilepaskan, Gonzalo Cabrera.

Pemain kelahiran Argentina itu masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya, dan pengumuman mengejut oleh JDT itu pastinya menarik minat kelab-kelab tempatan, termasuk KDA FC, untuk mengekalkan pemain itu di Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram