TFC dedah sebab Muhammad Adib pilih skuad Penyu


  • Podium
  • Selasa, 14 Dis 2021

REPUTASI baik skuad Penyu di Liga M menjadi antara faktor Muhammad Adib memilih TFC sebagai destinasi. — Agensi

PASUKAN Terengganu FC (TFC) memaklumkan bahawa bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta'azim ll (JDT ll), Muhammad Adib Zainudin kini merupakan pemain baharu mereka.

Dia yang juga mantan kapten skuad bawah 22 tahun (B22) negara itu menandatangani kontrak selama dua tahun dengan skuad Penyu bagi menggantikan Muhammad Mohd Faudzi yang memilih untuk berhijrah ke pasukan lain.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasis Jusoh, pemain berusia 26 tahun itu adalah pemain tempatan pertama yang kita tandatangani bagi persediaan cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Kehadirannya diharap dapat memberi variasi di bahagian pertahanan sekali gus memperkukuh kubu Terengganu.

"Reputasi baik skuad Penyu di Liga M menjadi antara faktor pemain tersebut memilih TFC sebagai destinasi terbaharu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya lagi, selain itu Muhammad Adib juga yakin TFC mampu menyediakan persekitaran dan cabaran yang diperlukan oleh seorang pemain untuk meningkatkan tahap kemahirannya dalam arena bola sepak.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram