PENYERANG Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad disebut-sebut menjadi rebutan dua kelab, Kuala Lumpur City (KL City) dan Kedah Darul Aman (KDA) yang berminat mendapatkan khidmatnya secara pinjaman musim depan.
Ia ekoran kedua-dua kelab itu bakal beraksi dalam saingan Piala AFC yang lebih berprestij musim depan, sekali gus mematikan desas-desus kononnya Syafiq akan menyarung jersi Selangor.
Terdahulu, Pengarah Sukan JDT Martin Prest dalam satu kenyataan pada Isnin mengesahkan, beberapa pemain pasukan itu akan beraksi dengan kelab lain secara pinjaman pada musim 2022.
Salah seorang pemain tempatan yang kini dalam perbincangan untuk proses pinjaman ialah Syafiq yang sedang beraksi dalam saingan Piala AFF 2020 di Singapura.
Pada masa sama, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) melalui satu ciapan di laman Twitter rasmi pada Isnin turut mendedahkan perkara itu ketika menjawab pertanyaan daripada seorang peminat bola sepak tempatan yang menolak kemungkinan Syafiq bakal berhijrah ke Selangor.
TANGKAP layar di laman Twitter ketika TMJ menjawab soalan peminat bola sepak berhubung status pemain JDT.
Syafiq pada musim ini jarang membuat penampilan dalam kesebelasan utama dan hanya beraksi dalam empat perlawanan Liga Super.
Beliau juga sempat diturunkan dalam perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League 2021 menentang Nagoya Grampus pada April lalu.
Berdasarkan rekod dalam perlawanan Piala Malaysia, Syafiq mempunyai jumlah minit permainan yang rendah, namun sempat diturunkan pada perlawanan akhir menentang KL City di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Pinjaman ke kelab lain akan memberi beliau peluang beraksi dalam perlawanan kompetitif dengan lebih kerap, sekali gus membantu menampilkan aksi yang lebih baik di pentas antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya.
Di sebalik kekurangan minit permainan, Syafiq masih mendapat kepercayaan jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe pada aksi Piala AFF 2020 di Singapura ketika ini.
Untuk rekod, prestasi Syafiq dilihat merudum selepas beliau terbabit dalam kemalangan jalan raya tragis pada Disember tahun lalu.
Dalam kemalangan itu, tiga ahli keluarganya maut selepas kenderaannya terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Ogos tahun ini, Syafiq juga teruk dibidas oleh TMJ apabila beliau meluahkan secara terbuka di laman sosial bahawa dirinya merindui untuk beraksi semula di atas padang.
TMJ pada masa itu menegaskan, pemilihan pemain dalam skuad utama dibuat berdasarkan prestasi semasa dan setiap pemain harus berusaha untuk meraih tempat dalam pasukan.
Ketika ini, Kedah dilaporkan berada di depan dalam persaingan mendapatkan khidmat Syafiq secara pinjaman kerana pernah beraksi bersama gergasi utara itu selama dua musim bermula 2015.
Namun, tidak mustahil Syafiq berkelana ke ibu negara bagi memburu lebih minit permainan, jadi KL City mungkin destinasi seterusnya buat pemain versatil itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram