PEMAIN sayap Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Sean Giannelli kembali ke pasukan itu selepas tempoh pinjaman ke UiTM FC musim lalu berakhir.
Pemain tersebut menjaringkan tiga gol dan dua bantuan hantaran dalam 13 penampilan bersama UiTM dalam Liga Super tetapi sumbangnya gagal menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
UiTM FC menduduki tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul 13 mata daripada 22 perlawanan.
Sebelum dipinjamkan ke UiTM FC, Giannelli banyak memanaskan bangku simpanan KL City pada awal musim lalu dan paling lama beraksi hanya 22 minit baki perlawanan sahaja.
Situasi itu menyebabkan Giannelli dipinjamkan ke UiTM untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Menjelang musim baharu Liga Malaysia, pemain berusia 25 tahun itu dikhabarkan mendapat tawaran untuk menyertai Sri Pahang FC musim depan.
SPEKULASI mengaitkan Giannelli dengan Sri Pahang. — Twitter
Beberapa pemain sayap seperti Mohd Hafiz Ramdan, Mohd Shahrul Aizad, Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Muhammad Shahrul Nizam Mohd Nadzir yang masih berada dalam skuad, gagal menunjukkan prestasi terbaik musim lalu.
Hanya Abdul Malik Mat Ariff sahaja yang merekodkan catatan gol dan bantuan hantaran memberangsangkan buat Sri Pahang musim lalu dengan dua gol serta empat bantuan hantaran.
Pembelian Giannelli ke skuad Tok Gajah musim depan dijangka menambah kekuatan di bahagian sayap pasukan.
Perpindahan tersebut juga membuka peluang kepada Giannelli untuk mengembangkan lagi bakatnya serta mencerahkan peluangnya untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya, seperti yang diinginkan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram