Zainal Abidin jawab spekulasi dipecat MU


  • Podium
  • Selasa, 14 Dis 2021

ZAINAL Abidin bakal kekal sebagai ketua jurulatih Melaka United musim depan. — Ihsan MUSA

KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan menafikan dakwaan bahawa beliau akan dipecat, sekali gus menepis spekulasi yang tercetus baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, segala perkara berhubung dakwaan berkenaan sewajarnya ditanya kepada pihak pengurusan Melaka United.

"Saya akan duduk berbincang dengan pengurusan Melaka United pada minggu ini berhubung hala tuju pasukan menjelang musim baharu Liga Super.

"Saya juga mendengar khabar tentang peranan saya sebagai ketua jurulatih akan dikekalkan," katanya ketika dihubungi oleh Majoriti pada Selasa.

Tambah Zainal Abidin, beliau juga akan berbincang dengan pihak pengurusan berhubung para pemain yang bakal dibawa masuk atau dikekalkan pada musim depan.

Terdahulu, Melaka United berjaya membawa masuk pemain import, Ifedayo Olusegun dan dua pemain tempatan Muhammad Syazwan Andik serta Mohd Fadhli Shas.

Zainal Abidin sebelum ini pernah dikritik oleh para peminat pada awal musim lalu gara-gara prestasi Melaka United ibarat yo-yo.

Malah, Melaka United hampir melangkah ke zon penyingkiran ketika liga berbaki empat perlawanan lagi sebelum sebuah syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) mengambil alih pengurusan pasukan terbabit.

Zainal Abidin kemudiannya dikekalkan sebagai ketua jurulatih oleh pengurusan baharu dan membalas kepercayaan itu apabila memastikan Melaka United kekal dalam Liga Super musim depan serta membawa pasukan berkenaan layak sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram