Penang FC 'borong sakan' di utara, pikat enam bintang Kedah, Perak


  • Podium
  • Sabtu, 11 Dis 2021

PENJAGA gol veteran Perak FC, Hafizul Hakim antara yang bakal berhijrah ke Penang FC bagi saingan musim depan. — The Star

SETELAH kehilangan ramai pemain utama pasukan, Penang FC akhirnya berbelanja sakan bagi menggantikan pemain yang berhijrah ke pasukan lain.

Penghuni tangga ketiga Liga Super musim 2021 itu sebelum ini mengucapkan selamat tinggal kepada lebih 15 pemain skuad utama.

Menurut sumber, empat pemain dari Perak FC bakal menyertai skuad itu bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Mereka adalah pemain tengah, Syamim Baharuddin; pemain sayap, Adip Raop, pertahanan kiri; Rafiuddin Roddin; serta penjaga gol, Hafizul Hakim.

Difahamkan, masalah gaji di Perak menjadi punca ramai pemain The Bos Gaurus bertindak untuk berhijrah ke pasukan lain.

Selain itu, skuad Harimau Kumbang juga bakal diperkuat dengan kehadiran dua pemain dari seteru utara, Kedah Darul Aman (KDA) FC, iaitu Faizat Ghazli dan Fairuz Zakaria.

Kesemua enam pemain tersebut difahamkan sudah bersetuju untuk menyertai Penang FC dan kini hanya menunggu pengumuman kelab.

Sebelum ini, KDA FC menyambar empat pemain dari Pulau Mutiara itu iaitu Amer Azahar, Al-Hafiz Harun, Khairu Azrin Khazali dan Azmeer Aris. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram