Bekas import TFC ganti slot Baddrol di Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 10 Dis 2021

MARCEL menjaringkan dua gol serta menghasilkan dua bantuan gol dalam 18 perlawanan liga. — Gambar TFC

PASUKAN Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak menunggu lama untuk menggantikan bekas kapten mereka, Baddrol Bakhtiar yang berhijrah ke Sabah FC baru-baru ini.

Selepas mencapai kata sepakat untuk menyerahkan penyerang sensai mereka, Kpah Sherman kepada pasukan Terengganu FC (TFC) baru-baru ini, pengurusan skuad hijau kuning dilaporkan berunding untuk membawa pemain tengah, Dechi Marcel ke Stadium Darul Aman

Kelab pantai timur itu juga baru sahaja mengumumkan kontrak pemain tidak akan disambung bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber, pemain kelahiran Ivory Coast itu hampir pasti menyertai skuad hijau kuning dengan naib juara Liga Super itu sudah lama bekerja keras untuk membawa pemain itu ke Stadium Darul Aman.

Pemain berusia 30 tahun itu turut diintai beberapa kelab tempatan lain, namun beliau lebih berminat untuk berkhidmat untuk pasukan Lang Merah.

Beliau yang diserap daripada skuad TFC II, menampilkan aksi cemerlang dengan mengawal bahagian tengah TFC sepanjang musim 2021.

Marcel dikenali dengan kekuatan staminanya yang tinggi dan sering berlegar-legar di kawasan tengah TFC untuk membantu pasukan ketika menyerang dan bertahan sehingga mendapat gelaran 'Kante Terengganu'.

Walaupun bertubuh kecil, beliau mempunyai kekuatan fizikal yang mantap dan mempunyai visi serta kawalan bola yang baik.

Musim lalu, Marcel beraksi dalam 18 perlawanan liga dan menjaringkan dua gol serta menghasilkan dua bantuan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram