'Kuasai posisi kritikal atau Kedah akan tercicir'


  • Podium
  • Khamis, 09 Dis 2021

BADDROL secara rasmi ke Sabah FC untuk bersatu semula dengan bekas jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee. — Bernama

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) perlu memberi tumpuan kepada posisi di bahagian tengah menjelang musim baharu Liga Malaysia sekiranya mahu terus mencabar kejuaraan liga.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, kelab berkenaan perlu mendapatkan pemain import yang benar-benar dapat menguasai bahagian tengah.

"Sebelum ini, Baddrol Bakhtiar merupakan perancang utama kelab terbabit namun perpindahannya ke Sabah FC musim depan tentunya merencatkan posisi tersebut.

"Selain itu, KDA FC perlu mencari seorang lagi penyerang import bagi menggantikan Kpah Sherman yang berhijrah ke Terengganu FC (TFC) untuk bergandingan dengan Kipré Tchétché.

"Kelab itu perlu mencari pemain import yang setanding atau lebih daripada Sherman. Jika tidak, KDA FC akan tercicir daripada perebutan kejuaraan," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Pekan turut mengakui bahawa perpindahan Baddrol serta seorang lagi pemain, Mohd Rizal Ghazali ke Sabah FC memberi kesan kepada KDA FC musim depan.

"Bagi saya, Baddrol merupakan satu penanda aras dan ikon yang tiada tolok bandingnya terutamanya dari segi pengalaman, kepimpinan, disiplin, kesetiaan serta semangatnya memang dihormati oleh beberapa generasi pemain Kedah bahkan turut dihormati oleh para pemain import.

"Mohd Rizal juga antara pemain Kedah yang istimewa di posisinya iaitu bek kanan. Sudah tentu ketiadaan mentor dan legenda untuk Kedah akan dirasai oleh rakan sepasukan dan juga peminat.

"Walau bagaimanapun, bola sepak profesional dan perpindahan pemain suatu perkara biasa serta tidak perlu ditangisi kerana masa akan merubah segalanya.

"Kejayaan yang mendatang akan melenyapkan segala kekecewaan menjadi sejarah," ujar beliau lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram