Seorang lagi bintang JDT sertai Melaka United bersama Syazwan Andik


  • Podium
  • Jumaat, 10 Dis 2021

PERSAINGAN sengit di bahagian pertahanan tengah JDT membuatkan Fadhli sukar mendapat tempat di dalam skuad. — Instagram

PASUKAN Liga Super, Melaka United bakal memperkuat barisan pertahanan dengan dua pemain daripada juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dua bintang yang semakin dilupakan, Syazwan Andik dan Fadhli Shas dilaporkan semakin hampir menyertai skuad Hang Tuah itu secara pinjaman.

Difahamkan, segala urusan mengenai kontrak sudah dipersetujui antara kelab serta kedua-dua pemain itu, dan kini hanya menunggu pengumuman.

Selepas menyertai JDT pada tahun 2019, Syazwan gagal memecah masuk kesebelasan utama pasukan apabila hanya melakukan tiga penampilan sebelum beraksi untuk JDT II.

Kehadiran Syazwan bakal memberi saingan kepada pertahanan kanan utama Melaka United ketika ini, Wan Amirul Afiq.

Sementara itu, Fadhli, yang pernah menjadi tonggak penting Harimau Malaya ketika menjulang Piala AFF Suzuki pada tahun 2010, juga berpindah ke JDT II pada musim 2021.

Persaingan sengit di bahagian pertahanan tengah JDT membuatkan dirinya sukar mendapat tempat dan berada di belakang Mauricio, Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan dan Shane Lowry dalam pemilihan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram