Hilang 'Kante', TFC tagih khidmat pemain tengah MU ganti Dechi Marcel


  • Podium
  • Sabtu, 11 Dis 2021

OTT kini berada di Singapura bagi mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2021 bersama skuad Filipina. — Gambar Melaka United

TERENGGANU FC (TFC) kini sedang sibuk mencari pemain tengah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain yang berasal dari Ivory Coast, Dechi Marcel.

Tindakan kelab yang tidak menyambung kontrak pemain yang digelar 'Kante Terengganu' itu mengejutkan ramai pihak kerana beliau menampilkan aksi cemerlang dengan mengawal bahagian tengah TFC sepanjang kempen Liga Super 2021.

Namun, pengendali Terengganu yang baru sahaja disambung kontraknya, Nafuzi Zain nampaknya mempunyai pelan lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Marcel.

Difahamkan, TFC kini sedang berusaha keras bagi mendapatkan pemain antarabangsa Filipina kelahiran Jerman, Manuel Ott bagi menghadapi saingan musim hadapan dengan rundingan sedang giat dijalankan dengan ejen pemain itu.

Pemain itu kini sedang sibuk mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2021 di Singapura.

Pemain berusia 29 tahun itu menjadi pilihan TFC bagi mengisi kuota pemain Asean bagi menggantikan rakan senegaranya, Carli De Murga.

De Murga merupakan salah seorang daripada empat pemain import yang dilepaskan TFC selain Marcel, penyerang Brazil, David Da Silva dan pemain tengah Mali, Makan Konate.

TFC pada Khamis baru sahaja mengumumkan ketibaan penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman daripada Kedah Darul Aman FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram