KDA FC berdepan cabaran sukar musim depan


  • Podium
  • Khamis, 09 Dis 2021

DUA pemain KDA FC menghalang rembatan Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano (kiri) pada suku akhir perlawanan Piala Malaysia pada November lalu. — Bernama

KEDAH Darul Aman (KDA) FC tidak menunggu lama sejurus musim bola sepak tempatan berakhir apabila menandatangani beberapa pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Antara pemain yang dibawa masuk adalah Muhamad Azmeer Aris Nor Rashid, Mohammad Amer Azahar, Muhammad Al-Hafiz Harun, Muhammad Khairu Azrin Khazali dan Amirul Azhan Aznan.

Namun KDA FC juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada legenda kelab itu, Baddrol Bakhtiar yang secara rasminya berhijrah ke Sabah FC, bersama-sama Mohd Rizal Ghazali.

Selain itu, kelab itu turut melepaskan empat pemain importnya iaitu Kpah Sherman, Renan Alves, Rabih Ataya dan Anumanthan Kumar.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, langkah Kedah untuk memuktamadkan kontrak dengan beberapa pemain baharu adalah satu tindakan bijak.

"KDA tetap menjadi pasukan yang memiliki potensi untuk menjadi antara pencabar utama Liga Super. Ia seperti suatu tradisi dalam Liga Super apabila skuad Hijau Kuning tentu akan berada di kelompok teratas liga, tidak kira siapa barisan pemain atau jurulatihnya.

"Cuma untuk musim depan, saya dapat merasakan keadaan pasti lebih mencabar untuk Kedah. Selain Johor Darul Ta'zim (JDT), beberapa pasukan lain seperti Kuala Lumpur City FC (KL City), Melaka United, Terengganu FC (TFC), Selangor FC dan Sarawak United serta berkemungkinan Sabah turut memantapkan skuad mereka," ujarnya kepada Majoriti.

Kedah menamatkan kempen Liga Super pada 2021 di tempat kedua dengan 43 mata, dipisahkan 14 mata berbanding JDT yang meraih 57 mata.

Dalam 22 perlawanan, Kedah mencatat 13 kemenangan, empat seri dan lima kekalahan manakala berjaya menjaringkan 44 gol dan 24 bolos.

Dari segi ketajaman, Kedah antara pasukan tiga pasukan terbaik yang paling banyak menjaringkan gol di belakang JDT (50) dan Selangor (45), menunjukkan jentera serangan skuad utara itu cukup ampuh sepanjang musim lepas.

Dengan ketiadaan Baddrol dan Sherman yang menjadi mesin pencetak gol kelab itu, pastinya sandaran diletakkan kepada muka-muka baharu untuk memastikan skuad Hijau Kuning mampu memberi ancaman yang setara seperti ditunjukkan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram