Wajah baharu Kelantan United, 'ubi' muda jadi sandaran


  • Podium
  • Rabu, 08 Dis 2021

KUFC lakukan rombakan selepas keputusan mengecewakan pada musim liga yang lalu. — Agensi

KELANTAN United (KUFC) akan melakukan rombakan barisan jurulatih dan menggunakan khidmat pemain muda bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, keputusan itu dilakukan memandangkan pencapaian pasukan yang sekadar menamatkan musim 2021 di kedudukan ketujuh Liga Premier dan tersingkir awal di peringkat kumpulan pada aksi Piala Malaysia.

"KUFC telah memuktamadkan pengendali baharu untuk musim depan dan pihak kami menyerahkan kepada jurulatih tersebut untuk membina skuad terbaik yang mampu bersaing dengan kelab yang lain.

"Kami merombak barisan kejurulatihan dengan melantik ketua jurulatih baharu. Beliau diberi tanggungjawab membentuk pasukan mengikut acuannya dan kami pihak pengurusan tidak akan campur tangan," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Untuk rekod, KUFC merupakan pasukan kedua dari negeri Cik Siti Wan Kembang bersaing dalam kancah Liga Malaysia selepas Kelantan FC atau dikenali Kelantan The Red Warriors.

Menurut Anas Karimi, jurulatih baharu yang dilantik telah dijelaskan dengan misi dan visi utama kelab untuk mengutamakan pemain muda yang mampu menggalas harapan agar dapat beraksi mewakili negara.

"Justeru itu, antara sasaran kami ialah ingin melihat ada pemain KUFC dipilih untuk mewakili Malaysia untuk kejohanan-kejohanan yang lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, mengulas persiapan kelab untuk saingan Liga-M, beliau berkata KUFC ketika ini sedang menyelesaikan perkara utama dan akan membuat pengumuman melalui siaran media berhubung pelantikan jurulatih dan pemain.

"KUFC turut meletakkan sasaran di kedudukan lima terbaik Liga Premier serta layak ke Piala Malaysia. Oleh demikian, kami menyerahkan 100 peratus kepada jurulatih untuk menguatkan pasukan agar sasaran itu tercapai dengan jayanya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sukan, Bola Sepak, KUFC, Rombakan, Liga-M, Kelantan