Shukor bersyukur JDT wujud, gaji pemain terbela


  • Podium
  • Rabu, 08 Dis 2021

MUHAMMAD Shukor menjulang trofi Piala Malaysia bersama KL City sebelum bersara secara rasmi. — Bernama

BEKAS pemain kebangsaan, Muhammad Shukor Adan baru-baru ini mengumumkan persaraannya selepas beraksi selama 24 tahun.

Paling manis, kariernya berakhir dengan gemilang apabila menjulang Piala Malaysia apabila pasukan yang diwakilinya, Kuala Lumpur City FC (KL City) menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 2-0.

Selain para peminatnya, Muhammad Shukor juga berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketika sesi siaran langsung program Nindia Bola terbitan Astro Arena bersama pengulas sukan terkemuka, Hafizal Hamad di Instaram, Muhammad Shukor mengakui kelu lidah apabila Tunku Ismail mahu berjumpanya selepas perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Baginda ucapkan selamat bersara dan tahniah kerana memenangi Piala Malaysia. Pada masa itu saya terkejut, bermakna ada seseorang yang menghargai saya.

"Saya terperanjat apabila Tunku Ismail, seorang pemilik kelab sendiri yang mengucapkan selamat bersara kepada saya," katanya.

Tambah Muhammad Shukor, beliau turut menyifatkan JDT berbeza daripada pasukan lain di liga tempatan.

"JDT wujud di zaman era viral dengan banyak kutuk mengutuk berlaku. Ia menjadikan bola sepak Malaysia nampak meriah dengan adanya JDT.

"Semua pasukan cuba buat terbaik untuk bersaing menentang JDT," ujarnya lagi.

Jelas Muhammad Shukor, kehadiran JDT ke pentas bola sepak tempatan membuka lembaran baharu terhadap gaji pemain.

"Kalau tidak wujudnya JDT, sampai sekarang gaji-gaji pemain tidak diambil kisah. Bila wujudnya JDT, pemain-pemain mendapat tawaran yang terbaik dan saya merasakan ada baiknya kewujudan pasukan JDT ini," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram