Sudah tentu Nafuzi terguris hati tapi ini satu rahmat — Penganalisis


  • Podium
  • Khamis, 09 Dis 2021

NAFUZI terus diberi kepercayaan terus mengemudi skuad Penyu musim depan. — Bernama

TERENGGANU FC (TFC) secara rasmi mengekalkan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatihnya pada musim depan, sekali gus menepis khabar angin beliau akan ke Selangor FC.

Sejak dibimbing oleh Nafuzi, TFC meraih kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super musim 2020 dan keempat pada musim 2021.

Selain itu, beliau juga membawa TFC mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia namun tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pencapaian Nafuzi serta corak 'modern football' yang diterapkan adalah antara faktor utama penyokong TFC mahu beliau dikekalkan.

Bagaimanapun, penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli mempersoalkan tindakan pihak pengurusan TFC yang lambat memperbaharui kontrak Nafuzi.

"Bersandarkan prestasi beliau untuk TFC musim ini dan juga diperakui sebagai antara jurulatih tempatan terbaik musim ini, sepatutnya kontrak beliau disambung lebih awal untuk memudahkannya membuat perancangan serta bukan membiarkan nasibnya seperti telur di hujung tanduk.

"Ini satu persoalan tentang masih adakah jiwa Nafuzi untuk TFC. Saat beliau dikatakan sudah tidak diperlukan dan secara tiba-tiba dilantik semula.

"Sudah tentu Nafuzi sedikit terguris hati namun dilantik semula mungkin satu rahmat buat beliau menebus kekecewaan untuk terus melonjak musim depan," katanya kepada Majoriti pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram