Saringan Covid-19 di sekolah hanya guna kit ujian air liur


  • Primer
  • Rabu, 08 Dis 2021

UJIAN saringan Covid-19 dengan menggunakan calitan hidung di sekolah hanyalah demonstrasi sahaja. — Gambar hiasan

SEMUA sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) hanya perlu menjalankan ujian saringan Covid-19 dengan menggunakan kit ujian air liur sahaja.

KPM dalam satu kenyataan berkata, penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 November lalu.

"Merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial bertajuk 'Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar', KPM telah menjalankan siasatan dan mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang.

"Secara keseluruhan, seramai 16 murid di sekolah berkenaan telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur.

"Bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing oleh dua jururawat masyarakat," kata kenyataan itu pada Rabu.

KPM juga berkata, pengurusan ujian kendiri COVID-19 bagi murid sekolah KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Jelasnya, pada 28 November lalu, pihaknya telah mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran bagi sekurang-kurangnya 10 peratus murid.

Berdasarkan surat siaran tersebut, katanya pelaksanaan ujian kendiri hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram