Selepas Baddrol dan Rizal, pemain JDT bakal ke Sabah


  • Podium
  • Rabu, 08 Dis 2021

ONG Kim Swee (kiri) dikhabarkan akan menarik Stuart Wilkin untuk beraksi bersama Sabah.
SELEPAS menyambar Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali dari Kedah Darul Aman (KDA FC), skuad bola sepak Sabah nampaknya meneruskan pemburuan pemain berkualiti sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Super.

Terbaharu, Majoriti difahamkan yang pemain kacukan Malaysia dan England, Stuart Wilkin pula yang akan bersama dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Difahamkan, Wilkin yang kini bersama JDT II sama ada dalam pertimbangan untuk dipinjamkan atau dilepaskan ke Sabah pada musim hadapan.

Untuk rekod, bekas pemain akademi Southampton FC itu baru sahaja menandatangani kontrak bersama JDT pada 8 April lalu.

Beraksi bersama JDT II, Wilkin beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol untuk pasukannya ketika menentang Sarawak United dalam perlawanan pada September lalu.

Ketika mewakili skuad remaja Southampton FC, pemain tengah itu membuat 20 penampilan dalam saingan Liga Belia England musim 2015/2016 dan satu penampilan dalam saingan Piala FA Belia.

Wilkin juga berjaya menjaringkan 4 gol serta 12 bantuan gol pada musim tersebut.

Sabah menduduki tempat kesembilan daripada 12 pasukan di Liga Super pada musim lepas dengan mengumpul 19 mata hasil daripada 21 jaringan dan 38 bolos dalam 22 perlawanan.

Kehadirian Wilkin dijangka menambah lagi sengat serangan skuad The Rhinos jika digandingkan dengan Baddrol yang lebih gemar bermain di posisi sayap.

Dengan usia yang baru mencecah 23 tahun, Wilkin mampu menimbang pengalaman yang lebih luas bersama Sabah FC apatah lagi skuad itu dibimbing jurulatih berpengalaman seperti Kim Swee.

Malah Wilkin juga berpeluang untuk menonjolkan potensinya dengan bersaing di liga teratas di Malaysia seandainya hanya dilepaskan sebagai pemain pinjaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram