Covid-19 penghalang Malaysian Tigress sertai ACT


  • Podium
  • Rabu, 08 Dis 2021

MALAYSIAN Tigress terlepas peluang beraksi pada ACT 2021 disebabkan komplikasi berkaitan Covid-19. — Facebook

PERSEKUTUAN Hoki Asia (AHF) mengumumkan skuad hoki projek khas wanita ‘The Malaysian Tigress’ dikeluarkan daripada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Donghae, Korea Selatan.

AHF dalam kenyataan memaklumkan pasukan negara tidak dapat menyertai kejohanan itu susulan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam skuad kebangsaan.

"AHF dukacita memaklumkan kini telah disahkan bahawa disebabkan komplikasi berkaitan Covid-19, pasukan Malaysia tidak dapat menyertai ACT 2021," kata kenyataan itu pada Selasa.

Rentetan itu, AHF memaklumkan, pasukan Malaysia akan dikeluarkan daripada kejohanan yang kini hanya melibatkan persaingan antara lima pasukan.

The Malaysian Tigress pada mulanya dijadual menentang Jepun pada Rabu, Korea Selatan (9 Disember) dan Thailand (11 Disember) selepas dibatalkan daripada perlawanan pembukaan menentang China pada 5 Disember dan India (Isnin lepas).

Pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 susulan menjalani ujian calitan sebaik pasukan itu tiba di Donghae pada 29 November.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah kedudukan pingat gangsa pada edisi 2013 manakala meraih tempat keempat dalam edisi 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram