SEORANG mangsa kejadian letusan Gunung Semeru di daerah Lumajang Jawa Timur, Indonesia menceritakan kembali detik cemas dia menyelamatkan diri daripada bencana itu.
Mengimbas kembali kejadian itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Romli berkata, dia terkandas di dalam trak dinaikinya dan mencari jalan keluar ketika letusan gunung terbesar di Pulau Jawa tersebut berlaku.
"Sebaik turun dari kenderaan, saya ingat kaki saya terpijak aliran lava yang masih panas.
"Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, saya berlari dan memanjat bumbung rumah berhampiran bagi menyelamatkan diri," katanya kepada Reuters.
Romli yang juga pemandu trak pasir berkata, debu volkanik dan asap tebal akibat letusan gunung berapi itu membuatkannya sukar untuk bernafas.
"Saya tidak mampu bernafas kira-kira 10 hingga 15 minit.
"Saya sendiri tidak tahu sama ada saya hidup lagi atau tidak, namun Alhamdulillah saya diberi peluang hidup lagi," tambahnya.
Setakat petang Selasa, angka kematian akibat letusan Gunung Semeru dilaporkan meningkat kepada 34 orang manakala kira-kira 3,700 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram