Sabah FC pasukan terbaik pulihkan prestasi Rozaimi Abdul Rahman


  • Podium
  • Selasa, 07 Dis 2021

ROZAIMI ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan. — Agensi

SETELAH kontraknya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC ditamatkan Ogos lalu, Rozaimi Abdul Rahman sehingga kini masih belum menemui destinasi baharunya bagi saingan musim hadapan.

Menurut kelab berkenaan, penamatan kontrak bekas penyerang kebangsaan itu adalah atas persetujuan bersama disebabkan oleh masalah peribadi yang dihadapinya.

Rozaimi juga sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk kembali ke Sabah FC dan sanggup berbuat demikian walaupun tidak dibayar gaji.

"Aku mau main dengan Sabah geng, mana tahu sebelum aku pergi semenanjung, ada yang berubah fikiran di Sabah, memang aku pergi.

"Kalau mereka beri aku main secara percuma pun aku sanggup kalau main untuk negeri aku sendiri," kata pemain kelahiran Bongawan, Papar itu.

Terdahulu, Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, kelab itu terbuka untuk menerima mana-mana pemain termasuk Rozaimi menyertai pasukan itu namun mereka yang berminat perlu menghadiri sesi ujian dan memenuhi kriteria ditetapkan jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

"Rozaimi boleh berjumpa dengan kita ataupun kita akan bagi peluang kepada dia untuk sesi ujian. Kita cuba dulu sebab kita tidak boleh ambil pemain begitu sahaja... terbuka sama ada anak jati Sabah atau tidak kita boleh ambil kalau menepati kriteria yang ditentukan oleh Datuk Ong,” katanya.

Di usia 29 tahun, Rozaimi masih mempunyai beberapa tahun untuk kembali mendapatkan semula rentaknya menjadi salah seorang penyerang yang digeruni seperti satu ketika dahulu.

Jika sejarah dijadikan kayu pengukur, Sabah FC dilihat sebagai destinasi tepat bagi pemain itu bagi memulihkan prestasinya.

Kariernya paling menyinar ketika menyarung jersi The Rhinos pada 2011 hingga 2015.

Bersama pasukan Sabah yang ketika itu dikenali sebagai Sabah FA, Rozaimi menjaringkan 22 gol dalam 48 penampilan, membuatkan banyak kelab gergasi Liga Malaysia berminat untuk mendapatkan khidmatnya ketika itu.

Ketika bersama Sabah FA, Rozaimi pernah dipinjamkan ke dua kelab, Selangor FA dan Harimau Muda A, sebelum menarik minat Johor Darul Takzim (JDT) yang menandatanganinya secara tetap pada 2016.

Tidak keterlaluan menyifatkan Kim Swee sebagai individu paling tepat bagi mengembalikan zaman kegemilangan Rozaimi kerana beliau pernah bersama pemain itu ketika mengendalikan skuad bawah 23 tahun negara.

Kim Swee juga semestinya tahu apa yang mampu dilakukan oleh bekas anak buahnya itu jika Rozaimi menyarung semula jersi Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram