Tinggalkan Sri Pahang, Muslim Ahmad bakal ke Borneo


  • Podium
  • Isnin, 06 Dis 2021

MUSLIM merupakan antara tonggak penting Kim Swee di bahagian pertahanan skuad Harimau Muda satu ketika dahulu. — Instagram Muslim Ahmad

SRI Pahang pada Jumaat mengumumkan barisan 14 pemain yang tidak lagi menyarung jersi pasukan itu pada musim hadapan.

Antara nama-nama yang dilepaskan oleh skuad Tok Gajah adalah Faisal Rosli, Helmi Eliza, Fazly Mazlan dan pemain muda, Zazrir Naim.

Selain itu, Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani juga merupakan pemain yang tidak disambung kontrak mereka.

Turut dilepaskan ialah lima pemain import iaitu Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenjok Wal Athiu, Manuel Hidalgo dan Aung Kaung Mann.

Namun, ramai yang tidak menyangka bahawa kapten pasukan, Muslim Ahmad turut meninggalkan kelab setelah lima tahun mencurahkan bakti.

Disebabkan itu, terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa pemain berusia 32 tahun itu mahu menyertai bekas kembali bersatu bersama sifunya di skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang kini menjadi jurulatih Sabah FC.

Muslim Ahmad, pemain kelahiran Terengganu, merupakan antara tonggak utama Kim Swee dalam skuad emas negara yang meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Palembang.

Baru-baru ini, bekas kapten Kedah yang juga merupakan salah seorang pemain penting dalam skuad tersebut, Baddrol Bakhtiar membuat keputusan untuk menyertai Kim Swee di bumi Borneo.

Kim Swee juga dilihat sepeti mahu mengumpul semua 'anak-anak emasnya' di Stadium Likas bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Sebelum ini, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Kim Swee juga sedang dalam perancangan untuk membawa Khairul Fahmi ke Sabah, namun masih belum terdapat perkembangan mengenai perpindahan itu.

Tidak mustahil jika beliau turut berminat mendapatkan khidmat Muslim kerana pemain itu merupakan tonggak pertahanan penting yang membantunya menghadiahkan emas buat negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram