DUA perkhabaran gembira diterima skuad Negeri Sembilan FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Ia rentetan bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Sean Selvaraj semakin hampir untuk kembali ke skuad Negeri Sembilan sebaik tidak menyambung kontraknya bersama Selangor FC.
Pada masa sama, bekas pemain skuad kebangsaan, K. Nanthakumar pula dikhabarkan bakal menjadi pembantu kepada ketua jurulatih Negeri Sembilan, K.Devan musim depan.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran, @avineshW90 menerusi ciapannya di laman sosial Twitter pada Isnin.
"Sean Selvaraj mungkin akan kembali ke Negeri Sembilan. Terma perpindahannya dari Selangor FC kini sedang dalam perbincangan," tulisnya dengan memasukkan tanda padar #MFLTransfer2022.
TANGKAP layar ciapan T. Avineshwaran di Twitter pada Jumaat. — Twitter
Untuk rekod, pemain berusia 25 tahun itu pernah beraksi bersama skuad B-21 Tahun Negeri Sembilan dari 2013 hingga 2015.
Menguatkan lagi spekulasi itu, akaun Twitter rasmi Negeri Sembilan Football Club, @nsfc1923 pada Isnin turut memberi bayangan penyerang muda Selangor itu akan kembali ke Paroi.
"..... Naldo. #TheReturn," tulis akaun itu secara ringkas.
TANGKAP layar ciapan skuad Negeri Sembilan berhubung perpindahan Sean. — Twitter
Selain Sean, beberapa pemain dari Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC, Sri Pahang dan Melaka United juga kini dikatakan dalam radar skuad The Jangs itu.
"Beberapa pemain dari skuad musim ini turut dikekalkan antaranya ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Razak, Zamri Pin Ramli, Saiful Ridzuwan, N.Javabilaarivin dan A.Selvan," katanya lagi.
Skuad Negeri Sembilan FC bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas muncul juara Liga Premier 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram