Amanat terakhir Baddrol buat Alex


  • Podium
  • Ahad, 05 Dis 2021

BADDROL (kiri) dan Alex (kanan) juga merupakan rakan sepasukan skuad Harimau Malaya — Instagram Azammuddin Akil

SELEPAS 16 tahun menabur bakti di Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan kelab dan berhijrah ke pasukan Sabah FC bagi saingan musim hadapan.

Berita perpindahan itu sememangnya mengejutkan ramai pihak, terutamanya peminat KDA FC yang sudah lama menyaksikan beliau menyarung jersi Hijau Kuning pasukan itu.

Tidak kurang juga, terdapat pelbagai khabar angin yang berterbangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai punca pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan skuad Lang Merah, antaranya adalah isu tunggakan gaji.

Baddrol bagaimanapun menafikan perkara itu dalam satu hantaran Instagram baru-baru ini dan mengatakan bahawa biarlah dirinya sahaja yang tahu sebab beliau membuat keputusan itu.

Walau apa pun sebabnya, kasih sayang Baddrol terhadap pasukan negeri kelahirannya itu tidak dapat dipertikaikan oleh sesiapa pun walau kini sudah bergelar pemain Sabah FC.

Sebelum meninggalkan pasukan KDA FC, Baddrol sempat berpesan kepada pemain senior, Azamuddin Akil supaya menjaga pasukan selepas ketiadaannya

Perkara itu dikongsi oleh seorang penyokong KDA FC, MHazriq Fahimy Abdullah dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.

Dia menceritakan kisah ketika kedua-dua pemain itu menumpang kenderaannya dan rakan-rakan pulang ke Kedah selepas perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Johor tempoh hari.

Menurutnya, Baddrol dan Azammuddin, yang lebih dikenali sebagai Alex, membuat keputusan untuk pulang bersama mereka kerana penerbangan pulang pasukan dari Johor Bahru adalah pada keesokan harinya, dan mereka harus pulang segera atas faktor keluarga.

"Mereka terpaksa balik juga disebabkan sebelum hari perlawanan lagi, isteri mereka berdua berada di hospital, Badd isteri bersalin dan Alex isterinya mengalami masalah kesihatan.

"Namun atas dasar tanggungjawab dan komitmen kepada pasukan KDAFC, mereka berkorban tinggalkan isteri seketika demi satu perjuangan," ujarnya.

Menurutnya, ketika perjalanan, Baddrol tidak putus-putus berkongsi pesanan kepada Alex supaya menjaga pasukan KDA FC selepas ketiadaannya kelak.

"Alex jaga team kita elok-elok, jaga budak kita elok-elok," itulah antara amanat yang dikongsikan Baddrol kepada Alex, kata MHazriq Fahimy.

Dia turut menyifatkan pasukan KDA FC sebagai satu keluarga besar yang tidak berpecah pecah dan sentiasa bersatu hati walaupun sebahagian pemain telah membawa haluan masing masing.

Dia turut bersyukur kerana Alex membuat keputusan untuk terus bersama skuad Hijau Kuning bagi saingan musim hadapan.

"Tak semua yang boleh kita ceritakan. Persepsi dan pemahaman pasti ada yang berbeza beza. Tapi untuk aku, dari sisi kami untuk saat itu, aku kongsikan sekadar menceritakan sedikit pengorbanan mereka.

"Mungkin bagi setengah orang nampak biasa saja, namun untuk aku dan rakan rakan mereka semua adalah luar biasa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram