Jangkaan peminat Terengganu FC berhubung status Nafuzi Zain ternyata meleset


  • Podium
  • Isnin, 06 Dis 2021

KEPUTUSAN mengekalkan Nafuzi dilakukan menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terenggau FC pada Isnin. — Facebook/Terengganu FC

JANGKAAN awal peminat terhadap status Nafuzi Zain ternyata meleset selepas Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (FC) Sdn Bhd memaklumkan bahawa jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan itu dikekalkan untuk musim depan.

Berdasarkan kenyataan Terengganu FC, keputusan itu dilakukan menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd pada Isnin yang telah dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira banyak aspek termasuk pelan persediaan musim 2022 telah dipersiapkan termasuk senarai pemain yang akan bersama dan akan dilepaskan kelab ini bagi saingan musim hadapan.

"Bagaimanapun, keputusan ini bergantung kepada bakal pengendali Terengganu FC itu samada beliau menerima atau menolak tawaran yang diberikan," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak pentadbiran berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pengendali Terengganu FC itu.

Katanya lagi, mereka juga berharap prestasi pasukan Terengganu FC akan terus meningkat untuk musim hadapan.

"Harapan pihak pengurusan bertepatan dengan aras pencapaian yang telah ditetapkan bagi musim 2022 dan persiapan rapi pasukan-pasukan Liga Super yang lain," ujarnya.

Nafuzi mula berkhidmat sebagai jurulatih Terengganu FC sejak 16 Mei 2019 selepas terlebih dulu menjadi penolong jurulatih pasukan itu sejak 2017.

Terdahulu, nasib Nafuzi sebagai pengendali Terenganu FC menjadi teka-teki berikutan kontraknya bersama skuad penyu itu tamat pada 1 Disember lalu.

Sebelum itu, nama jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner, yang merupakan bekas jurulatih T-Team pada tahun 2015, disebut-sebut bakal menggantikan Nafuzi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram