TERENGGANU FC (TFC) masih belum membuat kata putus tentang masa depan ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain yang kontraknya tamat pada 1 Disember lalu.
Meskipun spekulasi kuat mengatakan tempat Nafuzi akan diganti oleh jurulatih import, Tomislav Steinbruckner yang dilaporkan sudah meletakkan jawatan di Bijelo Brdo, tetapi tiada pengumuman rasmi berhubung perkara itu daripada pihak TFC.
Menurut laporan, TFC pada asalnya merancang untuk mengekalkan Nafuzi bersama skuad Penyu pada musim depan tetapi pelan itu berubah apabila pihak pengurusan dipercayai berubah angin.
Situasi itu merumitkan keadaan kerana Nafuzi sendiri yang dilamar beberapa kelab sanggup menolak tawaran kerana dipercayai dia mahu kekal bersama TFC.
Spekulasi yang mengatakan masa depan samar Nafuzi berpunca daripada keputusan FC.
Antara kelab yang ditolak oleh Nafuzi termasuk Perak FC, dan keadaan itu dilihat tidak adil buat jurulatih kelahiran Kelantan yang sudah membina TFC sejak dua tahun lalu sehingga menjadi antara pencabar terbaik kejuaraan Liga Super dan Liga Malaysia.
Awal hari ini, Majoriti difahamkan, kontrak Nafuzi tidak disambung kerana beliau tidak mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.
Namun, ada pihak mengatakan bahawa perkara itu adalah tidak benar, sebaliknya punca kemelut ini berlaku adalah disebabkan oleh 'pergaduhan' individu-individu di belakang tabir.
Difahamkan, berlaku perebutan kuasa dalam kalangan pengurusan tertinggi yang menyebabkan situasi di kelab kini tidak stabil dan memberi kesan kepada kedudukan Nafuzi.
Ini antara perkara yang dibincangkan penyokong-penyokong TFC apabila melibatkan soal masa depan Nafuzi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram