LIMA hari sudah berlalu sejak kontrak pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tamat dan kelab itu sehingga kini masih berdiam diri mengenai nasib pengendali yang berasal dari Kelantan itu.
Sejak beberapa hari lalu, nama jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner, yang merupakan bekas jurulatih T-Team pada tahun 2015, disebut-sebut bakal menggantikan Nafuzi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Bekas kelabnya, NK BSK Bijelo Brdo pada Khamis juga mengumumkan peletakan jawatan Steinbruckner sebagai ketua jurulatih kelab itu, yang menghangatkan lagi spekulasi bahawa jurulatih itu bakal ke Kuala Terengganu bagi saingan musim hadapan.
Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa kontrak Nafuzi tidak disambung kerana beliau tidak mencapai KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.
Namun, ada pihak mengatakan bahawa perkara itu adalah tidak benar, sebaliknya punca kemelut ini berlaku adalah disebabkan oleh 'pergaduhan' individu-individu di belakang tabir.
Difahamkan, berlaku perebutan kuasa dalam kalangan pengurusan tertinggi yang menyebabkan situasi di kelab kini tidak stabil dan memberi kesan kepada kedudukan Nafuzi.
Ini antara perkara yang dibincangkan penyokong-penyokong TFC apabila melibatkan soal masa depan Nafuzi.
Antara tweet penyokong TFC mengenai kemelut yang berlaku dalam TFC. — Twitter
Lebih memedihkan penyokong, Nafuzi terpilih dalam anugerah Fan XI sebagai jurulatih paling diminati bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK2021) pada Sabtu.
Kemenangan itu menunjukkan Nafuzi mempunyai aura tersendiri dan penyokong yakin terhadap kemampuannya membimbing TFC jika diberi masa yang lebih lama.
Nafuzi mengambil alih Terengganu pada 15 Mei 2019 susulan perletakan jawatan Irfan Bakti pada pertengahan musim dan membawa kelab ke tangga ketujuh liga.
Pada musim berikutnya, beliau berjaya menunjukkan peningkatan dengan membawa TFC menghuni tangga ketiga liga dan mula dikenali dengan taktikalnya yang dipanggil 'Nafuziball'.
Tahun ini, Terengganu menamatkan saingan liga di tangga keempat dan tersingkir pada separuh akhir Piala Malaysia di tangan Johor Darul Ta'zim.
Jika kontrak Nafuzi tidak disambung, beberapa pasukan dilaporkan sedang mengikuti perkembangannya dan bersedia untuk mendapatkan khidmat jurulatih berusia 43 tahun itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram