Peluang ke Kedah tertutup, Azwan Aripin masih belum dilamar


  • Podium
  • Ahad, 05 Dis 2021

AZWAN pernah beraksi bersama skuad Kelantan sebelum berpindah ke Penang FC. — Twitter

BEKAS pertahanan kiri Penang FC, Azwan Aripin masih belum dilamar mana-mana kelab selepas kontraknya bersama kelab utara itu ditamatkan pada 1 Disember lalu.

Khabar angin kuat mengatakan pemain berusia 25 tahun itu akan kembali beraksi di Pantai Timur sama ada negeri kelahirannya, Kelantan, Terengganu atau Pahang.

Pasukan Sri Pahang FC dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Azwan yang beraksi cemerlang bersama Penang FC pada musim 2021, tetapi masih belum ada pengesahan rasmi berhubung perkara itu.

Azwan membantu Penang FC menduduki tempat ketiga di Liga Super dalam 17 penampilannya.

Penang FC menjadi pasukan keempat paling kurang dibolosi dengan 30 bolos sepanjang 22 perlawanan.

Dengan usia yang masih muda, bakat Azwan pastinya tidak akan disia-siakan oleh kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sri Pahang FC menjadi destinasi yang paling sesuai buatnya, apatah lagi skuad Tok Gajah itu hanya dibarisi dua bek kiri iaitu Faisal Rosli dan Faisal Rani yang masing-masing berada pada usia 30 dan 27 tahun.

Walaupun ada spekulasi mengatakan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berminat untuk mendapatkan khidmat Azwan, tetapi peluang itu sudah tertutup dengan ketibaan bekas rakan sepasukannya, Azmeer Aris Nor Rashid yang memilih bersama skuad Hijau Kuning pada musim depan.

Azwan juga berkemungkinan kembali ke negeri kelahirannya, Kelantan sama ada bermain untuk Kelantan FC atau Kelantan United yang dalam proses mencari pemain sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Perdana.

Tetapi kedudukan dua pasukan itu yang berada di liga bawahan mungkin membuatkan Azwan tidak minat kembali dua kelab itu buat masa ini.

Tidak mustahil juga dikatakan Azwan mungkin menyarung jersi Terengganu FC (TFC) yang mengharungi kempen cemerlang dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

Bagaimanapun perpindahan ke skuad Penyu itu hanya boleh direalisasikan jika isu ketua jurulatih baharu selesai memandangkan kontrak Nafuzi Zain masih belum disambung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram